DBKL pantau kesihatan pokok sekitar KL dengan sensor

LocalTechnology
23 Aug 2026 • 7:22 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DBKL pantau kesihatan pokok sekitar KL dengan sensor

KUALA LUMPUR: Sebanyak 200 sensor akan dipasang pada pokok di kawasan bandar bagi membolehkan keadaan kesihatan pokok dipantau secara masa nyata, sekali gus memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya dikesan berbahaya.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, pemasangan sensor itu merupakan langkah penambahbaikan selepas sebanyak 25,000 pokok dipetakan dalam Fasa 1 menerusi peruntukan Kementerian Digital.

Katanya menerusi pemetaan itu, ia membolehkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti pokok yang berada dalam keadaan sihat dan kurang sihat.

“Bagi penambahbaikan, kita akan meletakkan sekurang-kurangnya 200 sensor pada pokok untuk memantau keadaan kesihatan pokok secara masa nyata di pusat kawalan kita.

“Pusat kawalan itu akan memberikan indikator kepada kita supaya kita dapat mengetahui sama ada pokok itu berada dalam keadaan berbahaya atau sihat. Sekiranya berbahaya, kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Langkah berkenaan bagi memastikan pokok yang memerlukan tindakan pembaikan atau tindakan lain dapat dikenal pasti terlebih dahulu di kawasan bandar,” katanya ketika ditemui pada Program Ambil Angkat Taman Tugu, di sini semalam yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Fadlun berkata, pemantauan turut melibatkan pokok lama termasuk di Jalan Ampang yang telah hidup sekian lama.

“Kita akan menyokong dahan yang mempunyai potensi untuk jatuh sekiranya pokok masih dalam keadaan baik.

“Kita mahu memastikan pokok-pokok tersebut terus dipelihara dan tidak ditebang begitu sahaja,” katanya.

Bagi Fasa 2, sebanyak 200 pokok lagi akan ditanam, manakala peruntukan melalui inisiatif bajet tahun hadapan akan diminta bagi menambah 400 pokok di kawasan bandar sahaja. – UTUSAN

The post DBKL pantau kesihatan pokok sekitar KL dengan sensor appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved