
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya mengurangkan jumlah lokasi panas banjir kilat di ibu negara daripada 31 lokasi pada 2022 kepada 14 lokasi ketika ini, iaitu penurunan melebihi 50 peratus.
DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, usaha mengurangkan risiko banjir kilat akan terus diperkukuh menerusi pelaksanaan projek mitigasi, penyelenggaraan infrastruktur saliran serta peningkatan kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut.
Menurut DBKL, pihaknya menyasarkan jumlah lokasi panas banjir kilat dapat dikurangkan kepada 10 lokasi atau lebih rendah menjelang akhir 2026.
Perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan Kali Kedua yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, sebelum beliau mengadakan sidang media bersama wakil agensi berkaitan.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud serta wakil Perbadanan Putrajaya, Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
DBKL berkata, antara langkah yang dipergiatkan termasuk meningkatkan kekerapan penyelenggaraan parit, sungai dan kolam takungan kepada setiap dua bulan sepanjang musim monsun.
Selain itu, kerja menaik taraf sistem saliran dan saluran masuk air, penyelenggaraan stesen pam serta pembinaan kemudahan takungan air bawah tanah atau On Site Detention (OSD) dan tembok banjir turut dilaksanakan.
Dalam aspek kesiapsiagaan, DBKL memaklumkan seramai 350 anggota bersama bilik gerakan sentiasa bersedia untuk digerakkan apabila diperlukan.
Ujarnya, pemantauan turut dipertingkatkan menerusi Pejabat Cawangan DBKL di 11 kawasan Parlimen bagi memastikan perkembangan semasa ketika hujan dapat dilaporkan secara terus dan tindakan segera dapat diselaraskan.
Jelas DBKL, kerjasama strategik bersama Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Pengairan dan Saliran serta agensi keselamatan dan penyelamat turut diperkukuh bagi memastikan pengurusan risiko banjir dilaksanakan secara menyeluruh.
Kerjasama itu merangkumi langkah pencegahan, pemantauan dan tindakan kecemasan bagi mengurangkan risiko serta kesan kejadian banjir kilat.
Dalam pada itu, mesyuarat berkenaan turut membincangkan aspek keselamatan awam, jenayah komersial serta penyelarasan operasi penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan kesejahteraan dan ketenteraman Wilayah Persekutuan terus terpelihara.
Baca juga:DBKL berkata, pihaknya akan meneruskan usaha mitigasi banjir melalui perancangan jangka panjang, penyelenggaraan berterusan dan kerjasama erat antara agensi bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar raya yang selamat, berdaya tahan dan sejahtera untuk semua.






