Kuota minyak masak paket dikurangkan kepada 50,000 tan

LocalPolitics
14 Nov 2026 • 5:04 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Kuota minyak masak paket dikurangkan kepada 50,000 tan

Kuala Lumpur: Kerajaan akan terus mengurangkan kuota minyak masak paket bersubsidi secara berperingkat daripada 55,000 tan metrik ketika ini kepada sasaran 50,000 tan metrik bagi mengurangkan ketirisan dan penyeludupan, selain memastikan penjimatan subsidi dapat dimanfaatkan untuk menstabilkan harga minyak masak dalam botol.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) berkata pengurangan itu menyusuli kejayaan kerajaan menurunkan kuota daripada 60,000 kepada 55,000 tan metrik dalam tempoh dua tahun, selepas hampir sedekad tiada pengurangan dilakukan.

Beliau menegaskan langkah itu bukan bertujuan menarik balik subsidi minyak masak paket, sebaliknya sebahagian usaha memperkemas mekanisme pengagihan supaya subsidi dinikmati golongan yang sepatutnya.

Katanya, KPDN melaksanakan audit dalaman pada 2023 sebelum Jabatan Audit Negara turut menjalankan audit terhadap program berkenaan susulan kebimbangan mengenai ketirisan dan penyeludupan yang meningkatkan implikasi kewangan kepada kerajaan.

“Walaupun peruntukan asal program itu berjumlah RM900 juta sebelum meningkat kepada RM930 juta, implikasi kewangan sebenar ketika harga minyak sawit mentah (CPO) tinggi boleh mencecah antara RM1.7 bilion hingga RM1.9 bilion.

“Atas sebab itu kita mulakan langkah pada 2023, melaksanakan audit di peringkat KPDN dan kerajaan meminta Ketua Audit Negara menjalankan audit, dan laporannya juga telah dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi KPDN di Dewan Rakyat, di sini pada 12 Nov, bagi menjawab persoalan beberapa Ahli Parlimen mengenai Program Penstabilan Minyak Masak (COSS).

Mengulas lanjut, Armizan berkata pelaksanaan sistem eCOSS sejak Mei 2023 serta aplikasi mudah alih eCOSS menjadi mekanisme penting untuk memantau pengedaran minyak masak paket daripada pembungkus semula, pemborong hingga peruncit, termasuk mengenal pasti pembeli.

Katanya, aplikasi itu membolehkan kerajaan memperoleh data pembelian pengguna dan jumlah jualan di setiap kedai runcit, sekali gus membantu membuat keputusan mengenai pengurangan kuota dan penyasaran subsidi berdasarkan data sebenar.

Beliau mengakui masih berlaku ketirisan, namun kerajaan meningkatkan penguatkuasaan serta memperkenalkan beberapa langkah tambahan, termasuk mewajibkan bekalan minyak masak paket disediakan dalam setiap siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).

“Hampir 30,000 siri PJRM dilaksanakan dan kita mewajibkan sekurang-kurangnya 1,000 paket minyak masak disediakan bagi setiap siri. Selain itu, KPDN mengubah kaedah pengagihan dengan membenarkan 50 peratus bekalan ditentukan berdasarkan kontrak sedia ada, manakala baki 50 peratus ditentukan KPDN negeri dan daerah,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata kerajaan akan menggunakan penjimatan hasil pengurangan kuota minyak masak paket untuk melaksanakan intervensi harga minyak masak dalam botol yang turut terjejas akibat kenaikan harga CPO.

Katanya, harga CPO yang mencecah RM4,400 satu tan pada Oktober lepas berpotensi menyebabkan harga minyak masak dalam botol lima kilogram meningkat sehingga RM34, namun mekanisme kawalan harga kerajaan berjaya mengekalkan harga siling pada RM30.90.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved