KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu tampil memberikan penjelasan berhubung keputusan mengurangkan premium pembaharuan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada RM4.67 juta kepada hanya RM1,000.
Pendakwah, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, keputusan yang membabitkan pengurangan ketara itu menimbulkan pelbagai persoalan, khususnya mengenai asas pertimbangan, proses kelulusan dan pihak yang bertanggungjawab membuat keputusan berkenaan.
Beliau turut menggesa supaya nama ahli Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan yang meluluskan permohonan tersebut didedahkan bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti kepada rakyat.
“Siapakah ahli jawatankuasa yang membuat keputusan ini? Rakyat berhak mengetahui siapa yang meluluskan pengurangan premium daripada RM4.67 juta kepada RM1,000.
“Apakah asas pertimbangan sehingga pengurangan begitu besar diberikan? Adakah tanah di tengah ibu kota ini langsung tidak mempunyai nilai komersial?” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ridhuan Tee berkata, alasan bahawa bangunan KLSCAH berstatus warisan dan tidak boleh dibangunkan semula untuk tujuan komersial perlu diperjelaskan secara menyeluruh, termasuk implikasinya terhadap penilaian premium tanah.
Beliau turut mempersoalkan kemampuan kewangan pertubuhan itu sebelum ini, khususnya bagaimana KLSCAH berupaya menyediakan bayaran premium RM4.67 juta sekiranya kedudukan kewangannya dikatakan tidak kukuh.
“Kalau benar pertubuhan ini tidak mempunyai kemampuan kewangan, bagaimana mereka boleh membayar premium RM4.67 juta sebelum ini? Duit itu datang dari mana?
“Justeru, saya mencadangkan audit menyeluruh dilakukan terhadap kedudukan kewangan pertubuhan berkenaan supaya segala persoalan dapat dijawab berdasarkan fakta,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meneliti operasi dan aktiviti kewangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan bagi memastikan status serta kegiatan sebenarnya selaras dengan peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya, KLSCAH bukan sekadar berfungsi sebagai badan induk yang menghimpunkan pelbagai persatuan masyarakat Cina, malah turut menyediakan kemudahan termasuk pendaftaran perkahwinan dan penyewaan ruang kepada pihak luar.
Katanya, perkara itu wajar diteliti bagi menjelaskan sama ada aktiviti berkenaan mempunyai unsur komersial serta bagaimana hasil yang diperoleh diuruskan.
Beliau turut membangkitkan isu penggunaan bahasa dalam program rasmi pertubuhan itu dan menegaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diberikan kedudukan sewajarnya dalam semua urusan rasmi di negara ini.
Ridhuan Tee berkata, status bangunan warisan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memberikan keistimewaan tanpa penilaian yang telus, lebih-lebih lagi apabila keputusan berkenaan membabitkan kepentingan awam dan hasil kerajaan.
Beliau turut mengingatkan bahawa kemudahan atau insentif yang diberikan kepada mana-mana pertubuhan perlu berasaskan prinsip keadilan, ketelusan dan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
“Jangan sampai atas alasan memelihara bangunan warisan, kepentingan rakyat dan hasil negara diketepikan. Setiap keputusan perlu mempunyai asas yang jelas serta boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.
Beliau berkata, bangunan KLSCAH telah diwartakan sebagai bangunan warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 sejak 2007, justeru segala kemudahan berkaitan status berkenaan perlu dilaksanakan secara telus dan mengikut peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, beliau mahu pihak berkuasa menjelaskan sama ada pengurangan premium berkenaan dibuat berdasarkan penilaian teknikal, dasar pemuliharaan warisan atau pertimbangan lain.
Katanya, penjelasan terbuka penting bagi mengelakkan persepsi wujudnya layanan berbeza terhadap pertubuhan tertentu dalam pemberian kemudahan oleh kerajaan.
“Rakyat bukan mempertikaikan usaha memelihara bangunan warisan. Apa yang dipersoalkan ialah ketelusan proses, kewajaran pengurangan premium dan sama ada prinsip keadilan telah diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.






