DBP sokong pemerkasaan mukadimah Rukun Negara, kekal lima prinsip asal

LocalPolitics
4 Nov 2026 • 6:30 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyatakan sokongan terhadap langkah pemerkasaan mukadimah Rukun Negara yang dilaksanakan kerajaan, khususnya dari aspek penambahbaikan bahasa tanpa mengubah maksud asalnya.

DBP dalam satu kenyataan memaklumkan, penambahbaikan itu melibatkan pemilihan kata yang lebih inklusif serta penggunaan teks lebih padat dan bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan dibuat susulan persetujuan Jemaah Menteri pada 9 Oktober lalu terhadap pemerkasaan Rukun Negara yang turut mengekalkan lima prinsip asal.

“Kerukunan hidup bernegara di Malaysia sejak sekian lama diikat kukuh dengan Rukun Negara dan bahasa kebangsaan yang menjadi pancang pemersatu dan perpaduan bangsa.
“Rukun Negara merupakan ikrar taat setia yang bukan sahaja menjadi simbol, tetapi janji taat setia setiap rakyat Malaysia kepada tanah airnya,” katanya.
Image from: DBP sokong pemerkasaan mukadimah Rukun Negara, kekal lima prinsip asal

Foto arkib: NSTP

Kementerian Perpaduan Negara sebelum ini mengeluarkan surat Pemakluman Pemerkasaan Mukadimah Rukun Negara menerusi surat KPN.100-9/1/14 (16) bertarikh 27 Oktober 2026.

DBP turut berpandangan penambahbaikan itu mampu menjadikan Rukun Negara lebih dekat dengan jiwa generasi muda, khususnya dalam memahami asas kerukunan dan pembinaan negara.

“Langkah pemerkasaan ini juga diyakini dapat menyerap jiwa generasi muda berkaitan dengan asas kerukunan pembinaan negara bangsa ini.
“Kerukunan ini amat penting bagi memastikan setiap rakyat merasai denyut nadi peranan mereka membangunkan negara ini dan mempertahankan leluhur tradisi untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, DBP berpandangan pemerkasaan tersebut turut memperkukuh usaha menyeimbangkan pembangunan fizikal dengan pembangunan jiwa dan nilai kemanusiaan dalam kalangan rakyat.

“Pemerkasaan ini turut mengukuhkan usaha keseimbangan antara pencapaian pembangunan fizikal dengan pembangunan jiwa dan roh manusiawi setiap rakyat, iaitu menggapai langit mengakar ke bumi,” kata DBP lagi.
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved