De la Fuente minta Merino jadi 'lipas kudung'

FootballSports
7 Jul 2026 • 7:14 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: De la Fuente minta Merino jadi 'lipas kudung'
Gol lewat permainan Merino (kiri) singkirkan Portugal dan hantar Sepanyol ke suku akhir Piala Dunia. Foto Agensi

LUIS de la Fuente hanya memberikan satu arahan mudah kepada Mikel Merino iaitu terus berlari serta memberikan segala-galanya sebelum pemain tengah itu muncul wira Sepanyol yang menyingkirkan Portugal dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026.

Ketika perlawanan di Dallas dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, De la Fuente memasukkan Merino pada minit ke-84 dengan harapan pemain itu mampu meningkatkan tenaga serangan La Roja.

Arahan itu disahut sempurna apabila Merino melakukan larian tepat pada waktunya untuk menyambut hantaran Ferran Torres sebelum menyudahkan peluang dengan tenang bagi menghasilkan gol kemenangan pada minit pertama masa kecederaan.

“Saya memberitahunya supaya bermain seperti biasa, membantu di bahagian tengah dan menyerang. Kami mahu memberikan lebih tenaga untuk menghadapi kemungkinan masa tambahan,” kata De la Fuente.

Jaringan tersebut memastikan Sepanyol mencatat kemenangan 1-0 ke atas Portugal, sekali gus mengekalkan rekod luar biasa enam perlawanan berturut-turut tanpa bolos di Piala Dunia.

De la Fuente turut memuji sumbangan Torres yang dimasukkan pada minit ke-74, termasuk Fabian Ruiz serta Borja Iglesias yang diturunkan pada penghujung perlawanan kerana memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukannya.

“Kami bermain dengan sangat lengkap. Pemain paling penting adalah mereka yang masuk dari bangku simpanan. Sumbangan mereka sangat hebat,” katanya.

Kemenangan itu membawa Sepanyol ke suku akhir Piala Dunia 2026, dengan mereka kini menanti pemenang pertemuan Amerika Syarikat menentang Belgium.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved