Deaxter cipta sejarah di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia 2025

22 Aug 2025 • 2:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KANGAR: Nama Deaxter Pius, atlet muda berbakat dari Tambunan, kini meniti di bibir seluruh peminat olahraga tanah air selepas mencipta sejarah di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) 2025.

Pelari berusia 15 tahun itu menamatkan acara 400 meter lelaki bawah 15 tahun dengan catatan masa 48.90 saat, sekali gus memecahkan rekod kejohanan dan menjulang dirinya ke podium sebagai juara mutlak di trek Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis.

Lebih membanggakan, hanya beberapa minggu lalu Deaxter sudah pun mencipta sensasi apabila memadam rekod lama Majlis Sukan Sekolah-sekolah Sabah (MSSS) dengan catatan 49.99 saat.

Kini, dia sekali lagi membuktikan kemampuan luar biasa dengan menurunkan rekod kebangsaan MSSM yang bertahan sekian lama.

Kejayaan ini dianggap sebagai titik permulaan gemilang buat anak jati Tambunan itu, yang kini digelar sebagai “Raja 400 Meter” oleh peminat sukan negara.

“Ini adalah hasil usaha keras latihan setiap hari dan sokongan keluarga, jurulatih serta rakan-rakan. Saya mahu terus berlari dan mencatat masa lebih baik untuk Malaysia,” kata Deaxter penuh semangat selepas tamat perlumbaan.

Kemenangan Deaxter bukan sahaja mengharumkan nama Sabah, malah menyalakan harapan baharu buat sukan olahraga negara.

Dia kini dilihat sebagai prospek besar untuk mewakili Malaysia ke pentas lebih tinggi di masa akan datang.