Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pendidikan Tinggi (DAS) Ke-32 Perkukuh Aspirasi KLAAS Dalam Melahirkan Pemimpin Muda

9 Jun 2026 • 2:03 PM MYT
Newswav PR
Newswav PR

Sponsored content from various brands & advertisers

Image from: Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pendidikan Tinggi (DAS) Ke-32 Perkukuh Aspirasi KLAAS Dalam Melahirkan Pemimpin Muda
Imej oleh Jabatan Alam Sekitar

KUALA NERUS, TERENGGANU – Debat Alam Sekitar antara Institusi Pendidikan Tinggi (DAS) edisi ke-32 Tahun 2026 dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai tuan rumah, serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rakan kerjasama. Bersempena penganjuran program ini, JAS dan UMT turut memeterai Surat Hasrat (Letter of Intent – LOI) sebagai langkah memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pembangunan kapasiti dan pemerkasaan agenda kelestarian alam sekitar. Majlis perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Azuri Azizah binti Haji Saedon, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), menanggung tugas Ketua Pengarah Alam Sekitar.

Penganjuran DAS edisi ke-32 pada tahun ini menyaksikan penyertaan sebanyak 25 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dari seluruh negara yang berentap dalam pertandingan debat berprestij ini. Program ini merupakan platform intelektual yang menghimpunkan mahasiswa dan mahasiswi bagi membahaskan isu-isu alam sekitar secara kritis, berfakta dan konstruktif, di samping menggalakkan percambahan idea serta penyelesaian inovatif terhadap cabaran alam sekitar semasa.

Memasuki penganjuran edisi ke-32, DAS kekal sebagai antara program intelektual paling lama bertahan di negara ini. Sejak diperkenalkan pada tahun 1986, pertandingan ini telah berjaya menghimpunkan kira-kira 3,500 pendebat daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi awam dan swasta. Kejayaan ini membuktikan peranan penting DAS sebagai medium pembangunan modal insan yang melahirkan generasi muda berpengetahuan, berdaya saing dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap kepentingan pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar.

Puan Azuri Azizah berkata “Penganjuran DAS merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam memperkasa pendidikan dan kesedaran alam sekitar di peringkat nasional, selaras dengan aspirasi program Kampus Lestari Anugerah Alam Sekitar (KLAAS) yang diterajui oleh Jabatan. Sehingga Mei 2026, sebanyak IPT telah berdaftar untuk menyertai program KLAAS, yang memberi tumpuan kepada pencapaian lapan parameter utama kelestarian yang telah ditetapkan”. Inisiatif ini bertujuan membudayakan amalan lestari dalam kalangan warga kampus, di samping memperkukuh pengetahuan, nilai dan rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar sebagai asas kepada pembangunan negara yang mampan.

Image from: Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pendidikan Tinggi (DAS) Ke-32 Perkukuh Aspirasi KLAAS Dalam Melahirkan Pemimpin Muda
Imej oleh Jabatan Alam Sekitar

Selaras dengan perkembangan semasa, DAS sentiasa mengetengahkan usul-usul yang relevan dengan cabaran dan isu alam sekitar di peringkat nasional mahupun global. Antara tema yang menjadi fokus perbahasan termasuk peralihan tenaga, ekonomi biru, pembangunan lestari, pemuliharaan biodiversiti, teknologi hijau, dan pengukuhan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (1974). Pemilihan usul yang berteraskan isu semasa membolehkan peserta mengupas sesuatu perkara secara mendalam berdasarkan fakta, dasar kerajaan, kajian saintifik dan perkembangan terkini.

Pendekatan ini menjadikan DAS bukan sekadar sebuah pertandingan debat, malah sebuah platform pendidikan yang berkesan dalam memupuk pemikiran kritis, kemahiran berhujah, kepimpinan dan keupayaan menghasilkan cadangan penyelesaian yang bernas terhadap isu-isu alam sekitar. Program ini turut berperanan melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang mampu mengimbangi keperluan pembangunan negara dengan tanggungjawab memelihara alam sekitar dalam memastikan negara kekal dengan kepelbagaian biodiversiti, sumber asli yang mampan dan alam sekitar yang lestari.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh YBhg. Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT); YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT merangkap Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM).

Image from: Debat Alam Sekitar Antara Institusi Pendidikan Tinggi (DAS) Ke-32 Perkukuh Aspirasi KLAAS Dalam Melahirkan Pemimpin Muda
Imej oleh Jabatan Alam Sekitar

Seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI dan komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), JAS berharap penganjuran DAS edisi ke-32 akan terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara kerajaan, IPT dan masyarakat dalam melahirkan generasi yang berilmu, berintegriti serta bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar. Melalui platform seperti DAS, JAS yakin usaha membentuk masyarakat yang lebih peka, proaktif dan komited terhadap agenda pemeliharaan alam sekitar dapat terus diperkasakan demi kesejahteraan negara dan generasi masa hadapan.

"Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama"