Debat Rafizi - Mohd Syahir Jadi Kenyataan, 9 Ogos Tarikh Dipilih

Politics
1 Aug 2023 • 1:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mohd Syahir Che Sulaiman - gambar Facebook

KUALA LUMPUR – Akur dengan permintaan dan kehendak rakyat, Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menerima semula jemputan berdebat dihulurkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. 

Perkara tersebut disahkan Ahli Parlimen Pandan itu menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Menurut Rafizi, beliau dihubungi sendiri oleh Mohd Syahir setelah memperoleh keizinan daripada kepimpinan Perikatan Nasional (PN). 

“Saya telah dimaklumkan bahawa Saudara Syahir telah menerima semula jemputan saya untuk berdebat setelah mendapat keizinan pimpinan beliau. 

“Saya ucapkan terima kasih. Platform debat adalah peluang bagi parti-parti membentangkan idea dan tawaran kepada rakyat,” katanya. 

image is not available
Debat antara Rafizi Ramli dan Mohd Syahir Che Sulaiman dijangka diadakan 9 Ogos nanti - gambar Facebook

Jelas Rafizi, maklumat lanjut mengenai debat berkenaan akan dimaklumkan selepas ini. 

“Tetapi tarikh setakat ini adalah 9 Ogos 2023,” katanya. 

Sementara itu mengulas perkara sama, Mohd Syahir berkata, persetujuan tersebut dibuat selepas menerima keizinan pengurusan atasan. 

“Setelah mendapat perkenan, saya dengan ini menyatakan persetujuan.  

“Format, moderator, tarikh dan tempat, YB RR (Rafizi Ramli) yang cadangkan. Tajuk ‘Malaysia Lebih Baik’ saya cadangkan. Bismillah,” katanya. 

Penolong Setiausaha Agung PAS itu semalam menarik semula persetujuan untuk berdebat, selepas menyatakan kesediaan sehari sebelumnya. 

Memberi alasan ingin mendahulukan tugas, beliau berkata, adalah lebih wajar masa yang berbaki digunakan untuk mendahulukan kehendak rakyat. - Getaran, 1 Ogos 2023