Debut Bersejarah Pearly-Thinaah, Hannah Yeoh Anggap Emas Hadiah Buat Peminat

15 Dec 2025 • 1:49 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil merakamkan ucapan tahniah kepada gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan–M. Thinaah susulan kejayaan mereka meraih pingat emas Sukan SEA Thailand 2025, sekali gus menamatkan kemarau 10 tahun negara dalam acara berkenaan.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Hannah menyifatkan kejayaan tersebut sebagai lebih daripada sekadar kemenangan di gelanggang, sebaliknya simbol kepada sokongan, harapan dan doa peminat badminton tanah air yang sekian lama menantikan kebangkitan beregu wanita di pentas Sukan SEA.

Tamat Penantian 10 Tahun Beregu Wanita Negara

“Sepuluh tahun menunggu dan akhirnya detik yang dinanti telah tiba. Penampilan pertama Pearly dan Thinaah di Sukan SEA menghadiahkan emas buat negara,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah turut memuji keberanian serta ketenangan gandingan nombor dua dunia itu ketika mengharungi tekanan perlawanan akhir, selain menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai satu debut bersejarah.

“Debut yang berani, kemenangan yang bersejarah. Terima kasih kerana menamatkan kemarau yang panjang. Tahniah Pearly dan Thinaah,” katanya.

Kejayaan Pearly-Thinaah itu menyaksikan Malaysia kembali menguasai acara beregu wanita Sukan SEA buat kali pertama sejak edisi 2015 yang berlangsung di Singapura. – The Malaysian Update

The post Debut Bersejarah Pearly-Thinaah, Hannah Yeoh Anggap Emas Hadiah Buat Peminat appeared first on The Malaysian Update.