
KUALA LUMPUR – Pendedahan pihak berkuasa mengenai kegiatan sebuah premis di Puchong yang merendam ayam di dalam air panas sebelum disembelih turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md Jidin.
Mohd. Radzi meminta pihak berkuasa supaya mempercepatkan siasatan tersebut dan mendedahkan maklumat termasuk nama syarikat pemprosesan ayam kepada orang ramai.
Menurut beliau, tindakan itu adalah penting kerana ia membabitkan kepentingan pengguna khususnya umat Islam lebih-lebih lagi ia dipercayai diedarkan ke restoran, kedai runcit dan pasar raya di kawasan Lembah Klang.
“Saya masih menunggu pihak berkuasa mendedahkan nama syarikat yang mengendalikan pusat pemprosesan ayam yang diserbu di Puchong.
“Ayam dipercayai diproses dengan merendam ayam hidup ke dalam air panas sehingga mati sebelum disembelih,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Jelasnya, rakyat berhak mengetahui nama pengusaha, nama syarikat, lokasi sebenar pusat pemprosesan, nama pengedar serta ke mana bahan mentah itu dibekalkan atau dijual kepada pengguna.
Dalam operasi tengah malam semalam, pihak berkuasa mendedahkan bekalan ayam proses tersebut dihantar ke kawasan Damansara, Bangi, Puchong, Cheras, Putra Perdana dan Putrajaya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan lebih 6.5 tan ayam mentah disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan persijilan halal dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong tengah malam kelmarin.
Turut ditahan dalam Op Taring Chiller itu adalah 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar dilaporkan berkata, pemeriksaan mendapati ayam dipercayai direndam air panas sehingga mati sebelum disembelih.
Beliau berkata, proses pengendalian dan penyembelihan ayam di premis berkenaan menimbulkan keraguan serius terhadap pematuhan hukum syarak serta status halal produk berkenaan.
The post ‘Dedah segera nama syarikat proses ayam’ appeared first on Kosmo Online.





