Masa generasi muda julang Harimau Malaya

FootballSports
31 Oct 2026 • 9:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Masa generasi muda julang Harimau Malaya

PETALING JAYA: Harimau Malaya tidak boleh selamanya bergantung kepada khidmat pemain veteran sebaliknya perlu segera mempercepatkan proses peralihan generasi bagi memastikan kesinambungan kekuatan pasukan kebangsaan.

Pandangan itu disuarakan tonggak tengah berpengalaman, Paulo Josue yang mengakui perjalanan karier antarabangsanya semakin menghampiri penghujung, sekali gus memberi gambaran bahawa sudah tiba masanya lebih ramai pemain muda diberikan peluang.

Pemain berusia 37 tahun itu, mengakui terkejut apabila namanya masih berada dalam senarai panggilan kebangsaan kali ini kerana beliau berpendapat ruang lebih besar sepatutnya diberikan kepada muka baharu untuk membina kekuatan pasukan bagi menghadapi cabaran akan datang.

Menurut Josue, proses perubahan generasi tidak boleh ditangguhkan kerana pemain senior termasuk dirinya dan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva juga mempunyai tempoh tertentu sebelum menamatkan perjalanan masing-masing dalam bola sepak.

“Saya agak terkejut apabila jurulatih memanggil saya kali ini kerana pada pandangan saya, pemain baharu perlu diberi ruang untuk muncul dan meneruskan kitaran pasukan.

“Namun, setiap kali nama saya dipanggil, saya berasa amat bangga dan sentiasa sedia untuk memberi sumbangan,” katanya kepada media.

Walaupun menyedari masa depannya bersama skuad kebangsaan semakin terbatas, Josue tidak melihat perkara itu sebagai alasan untuk mengurangkan komitmen tetapi sentiasa bersedia membantu pasukan selagi khidmatnya diperlukan.

Dalam masa sama, pemain KL City FC itu melihat perkembangan penyerang muda, Fergus Tierney sebagai contoh bahawa pemain generasi baharu mampu memanfaatkan peluang apabila diberikan kepercayaan.

“Saya gembira dengan persembahan Fergus. Dia datang dalam skuad kebangsaan, menunjukkan prestasi yang baik dan beraksi dalam setiap perlawanan serta menjaringkan gol,” ujarnya.

Tierney ketika ini beraksi bersama kelab Cyprus, PAC Omonia dan mula mencuri perhatian menerusi sumbangan dua gol serta satu bantuan jaringan dalam tujuh penampilan.

Perkembangan positif pemain muda itu membuktikan Harimau Malaya mempunyai ruang untuk membentuk barisan pelapis yang mampu mengambil alih tanggungjawab pemain senior secara berperingkat. – UTUSAN

The post Masa generasi muda julang Harimau Malaya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved