
Kota Kinabalu: Sebanyak sembilan barangan keperluan disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Deepavali minggu depan, yang akan berkuat kuasa selama tujuh hari mulai Khamis ini (16 Okt) hingga 22 Oktober.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelaksanaan skim itu bertujuan memastikan kestabilan harga sepanjang musim perayaan serta melindungi pengguna daripada kenaikan harga yang tidak munasabah.
Beliau berkata, barangan yang disenaraikan di bawah skim tersebut ialah kambing import (bertulang), tomato, cili merah, bawang merah kecil dan bawang ros (dari India), bawang merah besar import, kacang dhal (dari Australia), kelapa biji (harga maksimum di peringkat borong sahaja) dan kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit sahaja).
“Pelaksanaan skim ini mengambil kira keadaan pasaran semasa bagi memastikan situasi menang-menang antara pengguna dan peniaga. Pengguna mendapat manfaat daripada harga berpatutan manakala peniaga tidak terbeban dengan tempoh pelaksanaan yang terlalu panjang.
“Dalam menentukan senarai barangan, harga siling dan tempoh pelaksanaan, beberapa faktor diambil kira termasuk permintaan dan penawaran, kos semasa, keadaan cuaca, kadar upah tenaga kerja serta aspek lain yang berkaitan.
“Proses ini turut melibatkan rundingan dengan rakan strategik seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan serta pihak industri termasuk dewan perniagaan,” katanya pada sidang media di sini, Isnin.
Armizan berkata, kementeriannya bekerjasama rapat dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan kawalan mencukupi sepanjang musim perayaan.
“SHMMP Deepavali 2025 akan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, yang memberi kuasa untuk menetapkan harga maksimum borong dan runcit. Senarai harga boleh disemak melalui laman sesawang KPDN di www.kpdn.gov.my,” katanya.
Beliau berkata, pegawai penguatkuasa KPDN akan digerakkan ke lokasi strategik di seluruh negara termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah yang menjual barangan keperluan perayaan bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang berkenaan.
“Pendekatan penguatkuasaan ini memberi tumpuan kepada pendidikan, nasihat dan pengeluaran amaran bagi menggalakkan peniaga mematuhi undang-undang serta menjalankan perniagaan secara beretika,” katanya.
Menurut Armizan, antara kesalahan biasa dilakukan peniaga ialah gagal mempamerkan tanda harga merah jambu bagi barangan di bawah skim kawalan harga dan menjual melebihi harga siling ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua peniaga mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan dan mempamerkan tanda harga merah jambu bagi barangan kawalan.
Individu yang didapati menjual barang kawalan melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya, atau dikompaun sehingga RM50,000.
Bagi syarikat pula, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau kompaun maksimum RM250,000.
Bagi kesalahan gagal mempamerkan tanda harga merah jambu, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun RM10,000.
Armizan turut menggalakkan orang ramai menyalurkan aduan lengkap melalui WhatsApp di 019-848 8000, Pusat Panggilan di 1-800-886-800, e-mel ke e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi mudah alih Ez ADU KPDN.





