
Setiap tahun, Deepavali hadir bukan sekadar sebagai perayaan, tetapi sebagai peringatan bahawa walaupun di saat paling gelap, cahaya tidak pernah benar-benar hilang. Ia menunggu, dengan sabar, di dalam diri kita semua.
Perayaan ini tidak pernah dicipta hanya untuk satu agama. Ia milik semua yang percaya bahawa kebaikan masih mampu menang. Panggil sumber cahaya itu apa sahaja; Ishwarah, Allah, Jehovah, Tuhan, atau sekadar Alam Semesta. Hakikatnya tetap sama: ada satu kekuatan yang mendorong kita untuk bangkit ketika jatuh, untuk memaafkan ketika disakiti, dan untuk membina semula ketika dunia terasa runtuh.
Deepavali ialah kisah kemanusiaan itu sendiri, pertarungan abadi antara cahaya dan kegelapan. Antara belas kasihan dan kekejaman. Antara harapan dan keputusasaan. Dan yang menjadikan kisah ini indah ialah bahawa cahaya tidak memerlukan semua orang untuk bersinar. Ia hanya memerlukan sejumlah besar. Sejumlah besar insan yang berniat baik, yang enggan membenci, yang memilih empati daripada keacuhan.
Malaysia telah membuktikan kebenaran ini berulang kali. Dalam detik-detik ujian sama ada politik, kaum, dan ekonomi, kesopanan dan hati budi rakyat biasa telah menjadi sebab negara ini terus teguh berdiri.
Ketika kegelapan cuba memecahbelahkan kita, cahaya muncul dari sudut-sudut yang tidak disangka: jiran yang membantu jiran, orang asing yang memberi walau sedikit dan suara yang bergema bukan dalam kemarahan, tetapi dalam kesatuan.
Kita bukan bangsa yang sempurna kerana tiada bangsa yang sempurna. Tetapi kita adalah bukti hidup bahawa cukup banyak cahaya, dikongsi oleh cukup banyak hati, mampu menangkis kegelapan yang paling pekat sekalipun.
Dan hari ini, dunia amat memerlukan pengajaran itu. Apabila konflik, ketakutan, dan sinisme menguasai, mudah untuk berasa tidak berdaya. Namun Deepavali mengingatkan kita bahawa kita tidak pernah hilang kuasa. Nyalaan sekecil lilin pun mampu menewaskan malam yang paling gelap.
Jadi, nyalakanlah pelita anda tahun ini. Bukan sekadar kerana adat, tetapi sebagai satu ikrar. Ikrar bahawa anda masih percaya pada kebaikan manusia. Bahawa anda masih percaya kasih sayang lebih berani daripada kebencian, belas kasihan lebih kuat daripada kekejaman, dan kebenaran, walau sering sunyi, tetap lebih lantang daripada segala dusta.
Marilah kita menjadi cahaya itu; bukan sempurna, bukan serba tahu, tetapi cukup. Cukup untuk menuntun satu sama lain keluar dari bayang-bayang. Cukup untuk menunjukkan kepada dunia bahawa perpaduan bukan mimpi; ia adalah pilihan.
Selamat menyambut Deepavali, sahabat-sahabatku.
Semoga rumahmu diterangi cahaya, hatimu tenang tanpa beban, dan cahayamu walau kecil, bersinar cukup jauh untuk menyentuh jiwa insan lain. - Getaran, 20 Oktober 2025


