Aplikasi DeepSeek kini tidak lagi boleh dimuat turun menerusi stor aplikasi di Korea Selatan sejak Sabtu lalu. Halangan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi (PIPC) selepas DeepSeek mengakui gagal mengambil kira beberapa peraturan untuk melindungi data peribadi pengguna.

Walaupun aplikasi tidak lagi boleh dimuat turun, perkhidmatan masih lagi boleh diakses menerusi web dan juga aplikasi peranti pintar. Setakat ini Korea Selatan, Australia dan Taiwan sudah mengeluarkan arahan mengharamkan pemasangan aplikasi DeepSeek pada peranti milik kerajaan. Risiko keselamatan data yang dihantar ke China menjadi sebab mengapa arahan dikeluarkan.
Model kecerdasan buatan (AI) DeepSeek R1 mendapat perhatian ramai selepas kemampuannya didapati lebih baik model yang dibangunkan oleh Google dan OpenAI tetapi dengan kos pembangunan yang beratus kali ganda lebih murah. Model R1 kini memulakan trend chatbot AI memaparkan cara ia berfikir kepada pengguna dengan jalan kerja diberikan semasa proses memberikan jawapan diberikan.



