MAKKAH – Setiap langkah jemaah menuju Arafah membawa satu harapan yang sama, namun di belakangnya berdiri pasukan perubatan Tabung Haji (TH) yang sentiasa bersedia memastikan perjalanan itu tidak terhenti di tengah jalan sebelum sempat berwukuf.
Memastikan setiap jemaah haji Malaysia mampu berwukuf di Arafah menjadi fokus utama pasukan perubatan TH sepanjang operasi Masyair musim haji 1447H.
Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Muhammad Zamri Harun berkata, keseluruhan perancangan pasukan perubatan dirangka bagi memastikan jemaah dapat menunaikan kemuncak ibadah haji dengan selamat meskipun berdepan cuaca panas melampau dan cabaran kesihatan.
Menurut beliau, operasi perubatan ketika Masyair melibatkan tiga fasa utama iaitu sebelum, semasa dan selepas pergerakan jemaah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.
“Kita fokus supaya jemaah dapat menunaikan haji dan sekurang-kurangnya dapat berwukuf di Tanah Suci.
“Sebahagian petugas perubatan akan bergerak lebih awal ke lokasi Masyair bagi membuat persiapan, manakala sebahagian lagi bersama jemaah di maktab untuk memastikan rawatan segera dapat diberikan sekiranya diperlukan,” katanya ketika ditemui media di sini.
Menurutnya, antara cabaran terbesar yang dihadapi pasukan perubatan ialah aspek komunikasi dan koordinasi pantas susulan pergerakan besar-besaran jemaah ke Arafah.
Katanya, faktor cuaca panas ekstrem turut meningkatkan risiko dehidrasi, keletihan haba, strok haba serta penyakit berjangkit khususnya jangkitan saluran pernafasan.
“Pasukan health education akan pergi ke setiap bilik penginapan jemaah sebelum mereka bergerak ke Arafah bagi memberi penerangan berkaitan penjagaan kesihatan.
“Kita juga menasihatkan jemaah supaya mengurangkan aktiviti luar terutama seminggu sebelum wukuf dan tidak memaksa diri ke Masjidil Haram untuk solat Zuhur dan Asar.
“Jemaah digalakkan minum sekurang-kurangnya 10 gelas air sehari walaupun tidak berasa haus bagi mengelakkan dehidrasi,” katanya.
Dr Zamri berkata, setakat ini masalah kesihatan paling tinggi direkodkan dalam kalangan jemaah ialah jangkitan saluran pernafasan atas seperti batuk dan sakit tekak.
Selain itu katanya, ramai jemaah turut mengalami masalah kulit kering dan gatal-gatal akibat cuaca panas serta kecederaan tisu lembut kerana terlalu banyak berjalan.
“Kita memang banyak membawa pelembap kulit dari Malaysia dan kita juga mempunyai pasukan fisioterapi untuk membantu mereka melakukan senaman regangan serta persediaan perjalanan jauh,” katanya.
Beliau menjelaskan, simptom awal keletihan haba biasanya bermula dengan peluh berlebihan dan suhu badan meningkat sebelum boleh bertukar menjadi strok haba sekiranya tidak dirawat segera.
“Apabila keadaan menjadi lebih serius, jemaah boleh mengalami sakit kepala, hilang orientasi dan pengsan. Situasi ini memerlukan rawatan segera daripada pasukan perubatan,” katanya.
Menurut beliau, seramai 224 petugas terlibat dalam operasi perubatan haji tahun ini termasuk pakar, doktor, jururawat, pakar dietetik, pendidikan kesihatan serta kesihatan persekitaran.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan rombongan kebajikan menerusi program peneman bagi membantu jemaah uzur ketika operasi Masyair. Dua bas khas disediakan untuk membawa jemaah uzur yang tidak sakit tetapi tidak mampu berjalan jauh.
“Bagi jemaah yang dirawat di Hospital Saudi German, pihak hospital akan membantu membawa mereka menaiki ambulans untuk berwukuf sebelum dihantar semula ke hospital. Bagaimanapun, untuk hospital lain perkara itu masih dalam perbincangan,” katanya.
Beliau berkata, selain membuka klinik kecemasan di Mina dan Arafah bagi memastikan rawatan dapat diberikan dengan segera, pihak perubatan turut menyediakan empat ambulans yang mempunyai tasreh bagi membawa pesakit kecemasan sepanjang operasi Masyair.
“Kita juga sedang berusaha mendapatkan tasreh untuk 12 lagi ambulans milik TH supaya pesakit dapat dihantar segera ke hospital Arab Saudi.
“Jemaah tidak perlu risau kerana setiap maktab akan ada doktor dan klinik kecemasan sepanjang berada di Mina nanti. Kita mahu semua jemaah dapat berwukuf di Arafah dan memperoleh haji yang mabrur,” katanya.



