
SAAT jutaan insan melangkah menuju Makkah dan berkumpul di Padang Arafah, ada jiwa-jiwa di tanah air yang hanya mampu memandang dari jauh… namun tetap berharap, suatu hari nanti, nama mereka juga akan dipanggil sebagai tetamu-NYA.
Menyedari getaran rasa itu, TV AlHijrah kembali menyusun langkah, membawa suasana musim haji lebih dekat ke ruang tamu dan lebih penting, ke dalam hati.
Sempena Haji dan Aidiladha 1447H, stesen ini tampil dengan rangkaian program khas yang bukan sekadar tontonan, tetapi perjalanan rohani yang menyentuh jiwa.
Mengangkat tema Arafah: Puncak Munajat & Harapan, pendekatan kali ini terasa lebih mendalam. Ia bukan sekadar tentang perjalanan fizikal ke Tanah Suci, tetapi perjalanan pulang seorang hamba kepada Penciptanya, tentang taubat yang dirintih, doa yang dipanjatkan dan harapan yang tidak pernah putus.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri di jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr Zulkifli Hasan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Haji Namanzee Harris, musim haji sentiasa menjadi nadi penting dalam kandungan stesen tersebut. Ketika manusia mengenakan ihram serba putih, dunia diingatkan bahawa semua kembali sama di sisi Allah tanpa pangkat, tanpa darjat, hanya amal menjadi ukuran.

Atas kesedaran itu, mereka mahu memastikan rakyat Malaysia tetap dapat merasai denyut musim haji, walaupun berada ribuan kilometer jauh dari Tanah Suci.
Lebih menarik, pendekatan kali ini disesuaikan dengan selera penonton masa kini lebih ringkas, padat dan mudah dihadam, tanpa mengorbankan nilai dan adab dalam penyampaian.
Jika dahulu program keagamaan cenderung panjang dan formal, kini ia hadir dengan nafas baharu.
Interaktif haji
Kandungan disusun lebih segar, menggabungkan laporan lapangan, kapsul pendek, interaksi digital serta paparan semasa dari Makkah yang menjadikan pengalaman menonton lebih hidup dan dekat.
Antara program yang mencuri perhatian ialah Interaktif Haji yang sudah bersiaran sejak 20 April, setiap Isnin hingga Jumaat jam 9 malam.
Program tersebut membuka ruang kepada penonton untuk memahami ibadah haji secara lebih jelas dan praktikal, di samping memberi peluang bertanya soalan secara langsung.
Disusuli Kisah Mutawif bermula 30 April, penonton dibawa menyelami sisi insan yang sering berada di belakang tabir.
Mereka bukan sekadar pembimbing perjalanan, tetapi peneman saat lelah, penenang ketika gelisah figur yang menjadi ‘tulang belakang’ kepada kelancaran ibadah para jemaah.

Mulai 11 Mei, Diari Labbaikallah pula menjadi jendela harian dari Tanah Suci, merakamkan detik sebenar jemaah Malaysia, cabaran yang dihadapi serta momen-momen yang jarang terlihat di mata umum.
Kemuncaknya sudah tentu pada 26 Mei menerusi Munajat Arafah jam 5 petang sebuah siaran yang sarat dengan tausiyah, zikir dan alunan ayat suci al-Quran dalam suasana penuh keinsafan.
Pada hari yang sama, siaran langsung Khutbah Arafah 2026 turut dibawakan kepada penonton di Malaysia melalui platform digital rasmi mereka.
Menjelang Aidiladha, perjalanan rohani berkenaan diteruskan dengan Peristiwa Hari Tasyrik pada 28 hingga 30 Mei.
Program itu mengajak penonton memahami hikmah di sebalik hari-hari yang sering dipandang biasa, sedangkan ia adalah waktu untuk memperbanyakkan zikir, mensyukuri nikmat dan mengingati pengorbanan agung para nabi.
Sepanjang musim haji, rancangan pagi Assalamualaikum turut menampilkan segmen khas setiap hari, manakala Berita AlHijrah membawakan laporan harian berdasarkan sumber sahih termasuk daripada Lembaga Tabung Haji dan pihak berkuasa Arab Saudi.

Di sebalik kemeriahan majlis yang berlangsung, terselit momen yang benar-benar menyentuh hati apabila seorang insan biasa, Mohd Yusof Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’, diumumkan menerima tajaan dua tiket umrah oleh Zulkifli atas keprihatinannya dalam membantu insan lain tanpa mengharapkan sebarang balasan.
