
Tema Halloween tidak semestinya rumah dipenuhi tengkorak, sarang labah-labah dan hiasan berwarna jingga terang.
Bagi yang gemarkan gaya interior lebih kemas dan kontemporari, suasana Halloween juga boleh diterapkan secara lebih halus tanpa mengorbankan estetika kediaman.
Menurut pereka dalaman bebas, Dalila Dayana Ramli, dengan pemilihan warna, pencahayaan dan aksesori yang tepat, tema seram itu boleh tampil lebih sofistikated, moden serta menarik.
“Antara langkah paling mudah adalah memilih palet warna yang lebih matang. Selain jingga dan hitam yang sering dikaitkan dengan Halloween, cuba gunakan warna seperti hitam arang, kelabu gelap, coklat tanah, burgundy atau hijau zaitun.
“Warna-warna ini memberikan suasana dramatik tetapi masih mudah disesuaikan dengan konsep dekorasi sedia ada.
“Jika ruang menggunakan warna natural seperti putih, krim atau beige, beberapa elemen gelap boleh dijadikan titik tumpuan,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Taman Melawati, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, manfaatkan pencahayaan untuk membina suasana misteri.
Misalnya, lampu LED berwarna kuning suam, lilin elektrik atau lampu meja dengan cahaya malap boleh menghasilkan kesan misteri tanpa menjadikan ruang terlalu seram.
Letakkan beberapa sumber cahaya pada sudut berbeza untuk menghasilkan bayang-bayang lembut pada dinding atau perabot.

Bagi aspek keselamatan, lilin elektrik dilihat lebih praktikal terutama jika terdapat kanak-kanak atau haiwan peliharaan di rumah.
Kongsinya lagi, bagi meja makan atau meja kopi, pilih hiasan dalam jumlah sederhana.
“Labu kecil berwarna putih, hitam atau hijau gelap boleh digunakan sebagai pengganti labu jingga tradisional.
“Susun beberapa labu mini bersama pasu kaca, bunga kering atau ranting kayu untuk menghasilkan gubahan yang lebih minimal.
“Bagi sentuhan Halloween, tambahkan beberapa elemen kecil seperti patung kelawar, burung gagak atau tengkorak berwarna monokrom,” ujarnya.
Katanya, dinding pula boleh dihias menggunakan karya seni bertemakan Halloween yang lebih abstrak.

Poster tipografi, ilustrasi bulan, rumah berhantu atau siluet pokok boleh memberikan identiti kepada ruang tanpa kelihatan seperti set dekorasi pesta kanak-kanak.
Sebaiknya, pilih bingkai hitam atau kayu gelap supaya hiasan lebih sebati dengan konsep interior moden.
Tekstil juga memainkan peranan penting dalam mengubah suasana ruang. Tukarkan sarung kusyen kepada warna gelap atau corak berkaitan musim luruh, manakala selimut bertekstur boleh diletakkan di atas sofa.

Jika mahukan elemen Halloween yang lebih jelas, gunakan kusyen bercorak labah-labah, bulan atau kelawar, tetapi hadkan kepada satu atau dua helai supaya ruang tidak kelihatan terlalu sarat.
“Bagi ruang pintu masuk, dekorasi boleh dimulakan dengan sesuatu yang ringkas. Gantungan pintu berbentuk bulatan daripada ranting kering, daun tiruan berwarna gelap dan reben hitam bagi memberikan sentuhan Halloween tanpa terlalu mencuri perhatian.
“Sebagai alternatif, beberapa tanglung boleh diletakkan berhampiran pintu bagi mencipta suasana dramatik terutama pada waktu malam,” tambahnya.

Ujar Dalila Dayana, jika mahukan kelainan, gunakan unsur semula jadi sebagai sebahagian daripada dekorasi.
Ranting kering, daun kering, bunga pampas dan kayu boleh memberikan tekstur serta warna yang sesuai dengan tema. Unsur itu lebih mudah digabungkan dengan konsep moden, rustic atau Scandinavian berbanding hiasan plastik terlalu berwarna-warni.
Jelasnya, paling penting, jangan cuba mengubah keseluruhan kediaman menjadi rumah hantu. Pilih satu atau dua ruang sebagai fokus, kemudian gunakan aksesori kecil untuk hubungkan tema tersebut dengan ruang lain.
“Konsep Halloween moden sebenarnya terletak pada keseimbangan antara elemen misteri dan reka bentuk yang bersih. Dengan sedikit kreativiti, Halloween boleh diraikan tanpa perlu mengorbankan gaya kediaman.
“Daripada dekorasi yang terlalu sarat, pendekatan minimal dengan warna gelap, pencahayaan lembut dan aksesori terpilih mampu menghasilkan ruang lebih elegan, dramatik dan sesuai untuk suasana Oktober,” hurainya.
The post Dekorasi seram cara sofistikated appeared first on Kosmo Online.
