Delegasi Palestin Disekat, AS Tak Luluskan Visa Ke Perhimpunan Agung PBB

WorldPolitics
30 Aug 2025 • 10:43 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Delegasi Palestin Disekat, AS Tak Luluskan Visa Ke Perhimpunan Agung PBB

Amerika Syarikat pada Jumaat berkata pihaknya tidak akan memberikan visa kepada delegasi Palestin untuk menghadiri Perhimpunan Agung (PBB) bulan depan.

Memetik AFP, langkah luar biasa itu dilihat mengukuhkan lagi pendirian pentadbiran Presiden Donald Trump yang selari dengan Israel.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas, dilaporkan turut bercadang menghadiri mesyuarat PBB tersebut.

“Setiausaha Negara, Marco Rubio menolak dan membatalkan visa anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) menjelang Perhimpunan Agung PBB yang akan datang,” kata Jabatan Negara AS dalam kenyataan rasmi.

Jabatan Negara juga menuduh Palestin melakukan “lawfare” dengan membawa aduan terhadap Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Mereka juga mendesak pihak berkuasa Palestin menghentikan usaha mendapatkan pengiktirafan unilateral bagi sebuah negara Palestin.

Menteri Luar Israel, Gideon Saar, melalui platform X berterima kasih kepada pentadbiran Trump atas langkah berani itu kerana terus menyokong Israel.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Palestin mengecam keputusan berkenaan yang disifatkan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa serta Perjanjian Markas PBB.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, menegaskan adalah penting untuk semua negara anggota dan pemerhati termasuk Palestin diwakili dalam sidang kemuncak sehari sebelum Perhimpunan Agung bermula.

“Kami berharap isu ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Sebagai tuan rumah PBB di New York, Amerika Syarikat secara prinsip tidak boleh menolak visa kepada delegasi rasmi. Namun, Jabatan Negara mendakwa ia tetap mematuhi perjanjian dengan membenarkan misi Palestin beroperasi.

Sebelum ini, tuntutan aktivis untuk menolak visa pemimpin negara tertentu jarang diberi perhatian, meskipun melibatkan isu pelanggaran hak asasi manusia.

Pada 1988, Perhimpunan Agung PBB terpaksa dipindahkan ke Geneva selepas Amerika Syarikat menolak visa pemimpin Palestin, Yasser Arafat.

Pada 2013 pula, Washington enggan memberi visa kepada Presiden Sudan ketika itu, Omar al-Bashir.

Sumber: AFP