Deleum dijangka lebih kukuh pada FY24 didorong pemulihan segmen ICS - AmInvestment

Business & Finance
19 Oct 2023 • 11:09 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Deleum dijangka lebih kukuh pada FY24 didorong pemulihan segmen ICS - AmInvestment

diyana

19/10/2023 - 11:09

KUALA LUMPUR 19 Okt - Deleum Berhad dijangka lebih kukuh pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) berikutan pemulihan segmen rumusan kakisan bersepadu (ICS).

AmInvestment Bank Research berkata pengurusan kumpulan itu melihat persekitaran tender yang kukuh untuk segmen ICS, kerana kerja-kerja besar tertangguh ketika pandemik COVID-19 mendorong kepada tunggakan penyelenggaraan yang dianggarkan selama dua hingga tiga tahun.

“Pengurusan menjelaskan bahawa kemenangan buku pesanan akan meningkat dengan ketara seawal suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24), yang boleh dilengkapi dengan margin lebih baik pada dua digit rendah disebabkan oleh aset susut nilai sepenuhnya.

“Bagaimanapun, disebabkan kekurangan anugerah setakat tahun ini, kumpulan itu menjangkakan segmen ICS akan mengalami kerugian RM5 juta hingga RM6 juta daripada skala disekonomi (kos seunit syarikat meningkat disebabkan lonjakan pengeluaran) sebelum pulih dengan kukuh pada FY24,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Oleh itu, firma penyelidikan itu mengurangkan unjuran pendapatan FY23 sebanyak 30% terutamanya disebabkan oleh pemulihan tertangguh untuk segmen ICS dan kenaikan kos berkaitan dengan kontrak perkhidmatan medan minyak dan peningkatan kecekapan perniagaan.

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) lebih rendah sebanyak RM1.22 sesaham daripada RM1.33 sebelumnya.

Mengulas mengenai perkembangan Deleum yang lain, firma itu berkata pengurusan kumpulan memaklumkan bahawa Petronas dijangka memulakan tender untuk kerja-kerja penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM) berjumlah RM8 bilion, yang mana Deleum menyasarkan memperoleh 5% hingga 10%.

Ini bakal disusuli dengan pusingan baharu pembidaan bagi projek jet span di Indonesia pada masa akan datang.

Di samping itu, AmInvestment berkata segmen perkhidmatan medan minyak kumpulan itu berkembang dengan baik dan telah memulakan kerja bagi enam kontrak, yang dijangka menambah RM10 juta hingga RM15 juta kepada pendapatannya setiap tahun.

“Bagaimanapun, ini juga membayangkan kumpulan itu perlu menanggung kos permulaan dan mobilisasi sebanyak RM5 juta hingga RM6 juta, yang akan dibelanjakan dalam FY23,” tambahnya.

Kumpulan itu juga sedang dalam usaha memperoleh aset sedia ada di Indonesia untuk bahagian Power & Machinery (P&M), di mana pihak pengurusan tidak berhasrat untuk memperkenalkan kapasiti baharu melalui syarikat yang diambil alih dan memenuhi pasaran negara, yang mungkin memberi kesan negatif kepada margin.

Akhir sekali, kumpulan itu juga sedang menaik taraf sistem perancangan sumber perusahaan (ERP), yang dijangka menelan belanja RM3 juta hingga RM4 juta pada FY23.

Pada pukul 11:05 pagi ini, saham Deleum didagang tidak berubah pada RM1.03, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM413.6 juta. - DagangNews.com