
Pengguna media sosial telah dikejutkan dengan video yang tular, memperlihatkan seorang lelaki mengendalikan ‘jet pack’ ketika sedang melakukan penghantaran bungkusan ke gedung tinggi di Arab Saudi.
Berdasarkan video yang berdurasi 15 saat tersebut, pekerja kurier ini kelihatan sedang mengendalikan mesin yang berada pada bahagian belakangnya untuk terbang dan bergerak dari satu gedung ke gedung lain demi menghantar pesanan kepada pelanggannya.
Walaupun video ini telah tular, tiada siapa yang dapat mengenal pasti syarikat apa yang menerapkan teknologi ini terhadap kuriernya.
Selain itu, pekerja kurier tersebut turut mengenakan aksesori keselamatan yang terdiri daripada topi keledar, sarung tangan sampailah pelindung kaki. Tindakan ini adalah untuk melindunginya daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.
Berdasarkan Manorama Online pada Rabu (21 September), keupayaan untuk menjalankan pengiriman bungkusan kepada pelanggan tepat pada waktunya, dengan menggunakan bantuan drone atau abang ‘jet pack‘ sedang dalam proses percubaan.

Berkemungkinan dalam masa terdekat ini akan ada syarikat kurier daripada Arab Saudi yang menawarkan perkhidmatan penghantaran dengan menggunakan teknologi jet pack. Kaedah penghantaran ini sememangnya lebih pantas dan efisien, sesuai dengan peredaran masa kini.
على غرار الرجل الطائر.. مقطع متداول في #السعودية لعامل توصيل يطير لتسليم طلبية#العربية pic.twitter.com/vbRRfju8K4
— العربية السعودية (@AlArabiya_KSA) September 19, 2022
Jetpack bukan lagi satu perkara yang wujud dalam sains fiksyen
Kita sering disajikan dengan pergerakan ‘Iron Man’ yang kelihatan begitu lancar ketika terbang di ruang udara. Akan tetapi, kebanyakan manusia berfikir bahawa perkara itu tidak dapat direlisasikan dalam dunia sebenar. Teknologi Stark ini boleh dikatakan satu perkara yang mustahil dan hanya logik dalam dunia sains fiksyen sahaja.
Walau bagaimapun, siapa sangka teknologi ini sudah dapat direalisasikan, hasil usaha selama bertahun-tahun. Sebuah syarikat aeroangkasa, Gravity Industries telah membangunkan sebuah jet pack, yang memboleh seseorang individu ‘terbang’ persis watak adiwira Iron Man.
Pihak Gravity Industries telah membuat perkhidmatan pengalaman penerbangan berupa pakej Flight Experience dan Flight Training. Bagi pakej Flight Experience, pakej ini akan memberikan pengenalan yang luar biasa terhadap penggunaan jet pack. Terdapat tiga sesi penerbangan jet pack berserta lawatan makmal.

Bagi pakej Flight Training pula, program latihan penerbangan individu ini menawarkan peluang kepada anda untuk mendaftar sebagai ahli komuniti eksklusif Jet Suit Pilots. Latihan bagi pakej ini juga lebih komprehensif dan makanan akan disediakan sewaktu latihan. Kedua-dua pakej ini memiliki yuran yang berbeza iaitu USD3500 (RM15,985) bagi Flight Experience dan USD8500 (RM38,820) bagi Flight Training.
Jetpack digunakan dalam bidang ketenteraan
Selain daripada kegunaan kurier ataupun tarikan pelancong untuk aktiviti ekstrem, teknologi ini juga digunakan dalam bidang ketenteraan. Sudah menjadi satu lumrah dalam dunia ketenteraan untuk menjadi pihak yang paling awal dalam pengaplikasian teknologi baharu dan sanggup untuk menyuntik dana terhadap pelbagai inovasi yang mampu menyelamatkan nyawa orang awam.
Menurut pengasas Gravity Industries, Richard Browning mengatakan dengan kehadiran jet pack ini, ia mampu mengubah corak peperangan moden sebagaimana penggunaan helikopter ketika mula-mula ia diperkenalkan.
Selain itu, pasukan Pasukan Tentera Laut Diraja British juga dilaporkan sudah melakukan percubaan terhadap sut Gravity Industries sebagai satu alternatif terhadap penggunaan helikopter.
Dalam satu ujian, seorang anggota tentera melakukan pelancaran daripada bot dan mendarat di atas kapal yang lebih besar dan menurunkan tangga ke seluruh skuadronnya. Perkara ini dilihat dapat mengurangkan keperluan untuk menggunakan helikopter yang lebih besar.
Perkara ini tidak tertakluk pada peperangan semata-mata. Perkara ini pernah dilaporkan pada dua tahun lepas iaitu sesi uji kaji bersama Great North Air Ambulance Service (GNAAS). Dalam laporan tersebut, pengguna jet pack dapat terbang ke tempat mangsa simulasi di kawasan pergunungan dalam hanya dalam 90 saat sahaja.

Catatan rekod masa ini jauh lebih pantas daripada 25 minit yang diambil oleh pihak ambulans untuk berjalan kaki. Pengurangan masa ini dapat menyelamatkan nyawa mangsa yang sedang mengalami situasi genting.
Walau bagaimanapun, pergerakan sut ini terhad dengan sejauh mana ia boleh bergerak, sebelum memerlukan bahan api lagi. Biasanya, ia boleh bergerak dalam lingkungan lima sehingga sepuluh minit, bergantung terhadap berat juruterbang dan beberapa faktor lain. Seperti dron penghantaran, jet pack hanya boleh digunakan pada jarak kurang daripada satu batu (1.6 km) buat masa ini.
Masa depan jetpack
Buat masa sekarang, jet pack memiliki pelbagai masalah seperti menghasilkan bunyi yang bising, tidak jimat bahan api, kurang praktikal dsebabkan pergerakan lengan juruterbang menjadi terhad dan sangat terdedah terhadap ancaman luar seperti angin yang kuat, petir dan sebagainya.
Namun, ini hanya permulaan bagi teknologi canggih tersebut. Mungkin, kita mampu menghasilkan penyelesaian terhadap masalah ini serta dapat mencari cara bagaimana untuk mengurangkan kos pembuatan agar ia mampu digunakan oleh orang ramai.

Sumber: Indozone, Gravity Industries & Engadget
The post ‘Delivery’ Cara Terbang, Hantar Parcel Ke Bangunan Tinggi Guna Jetpack appeared first on Siakap Keli.

