Delivery Hero tamatkan perbincangan penjualan Foodpanda di Asia Tenggara
herman
22/02/2024 - 17:48
KUALA LUMPUR 22 Feb - Delivery Hero telah menamatkan perbincangan untuk menjual perniagaan Foodpanda bagi pasaran Asia Tenggara terpilih.
Syarikat berpangkalan di Berlin, Jerman itu mengumumkan ia telah menamatkan perbincangan dengan rakan perundingan utama mengenai potensi penjualan, tanpa menamakan mana-mana pihak.
"Apabila mengesahkan semula perbincangan berterusan pada 2 Februari 2024, Delivery Hero kekal optimistik akan mampu mencapai syarat yang dipersetujui untuk menandatangani dengan rakan perundingan utama.
"Pada masa itu, syarikat percaya ia telah mencapai penjajaran dengan bakal pembeli berdasarkan syarat asas mengenai penjualan perniagaan.
"Bagaimanapun, Delivery Hero mengambil keputusan untuk menarik diri daripada rundingan kerana ini tidak lagi berlaku," katanya dalam kenyataan bertarikh 21 Februari.
Pasaran di Asia Tenggara meliputi Singapura, Malaysia, Filipina, Thailand, Kemboja, Myanmar and Laos.
Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Delivery Hero, Niklas Östberg berkata, kekuatan perniagaan APAC syarikat itu terbukti pada suku terakhir apabila rantau ini mencapai titik perubahan pada 2023.
"Kami percaya rantau ini kekal pada kedudukan kukuh untuk memacu pertumbuhan yang menguntungkan secara berskala.

"Keputusan untuk menamatkan rundingan selepas perbincangan berbulan-bulan telah diambil selepas pertimbangan yang teliti," katanya.
Syarikat itu menyatakan ia tetap terbuka kepada penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dan akan terus menilai alternatif strategik yang berpotensi.
Bagaimanapun, kenyataan itu berkata, mereka hanya akan meneruskan rundingan di mana ia boleh mencipta nilai bagi pemegang saham dengan kepastian tinggi penutupan.
Panduan FY 2024 Delivery Hero, yang disediakan dengan Kemas Kini Dagangan suku keempat 2023, tidak termasuk sebarang aktiviti M&A.
Akibatnya, pengumuman ini tidak mempunyai sebarang kesan ke atas panduan syarikat yang ditetapkan untuk 2024 atau jangkaan Aliran Tunai Bebas untuk jangka sederhana," tambahnya.
Berita mengenai penjualan itu mula diperkatakan apabila majalah perniagaan Wirtschaftswoche Jerman melaporkan pada September 2023 bahawa Grab adalah pembeli berpotensi untuk perniagaan Foodpanda di rantau ini dan boleh membelanjakan lebih daripada 1 bilion euro (RM5.18 bilion) untuk memperoleh platform penghantaran makanan dan barangan runcit dalam talian dalam kesemua tujuh pasaran.- DagangNews.com



