
Demi selamatkan adiknya yang OKU, lelaki ini terpaksa dikejarkan ke hospital
Demi Selamatkan Adik OKU Dari Kebakaran, Lelaki Sabah Ini Masuk ICU Selepas Terhidu Asap. Seorang lelaki berani gadai nyawanya untuk menyelamatkan adik perempuannya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) daripada menjadi mangsa kebakaran selepas rumah mereka di Kampung Pilajau, di sini, hangus terbakar semalam.
Tindakannya itu juga berjaya menyelamatkan beberapa kediaman jiran daripada musnah terbakar.

Kejadian yang berlaku pada jam 8 malam itu menyebabkan Azmi Nuin, berusia 47 tahun, mengalami kesukaran bernafas dipercayai kerana menghirup asap dan telah ditempatkan di Unit Rawatan Intensif (ICU) Hospital Beaufort, sementara adiknya, Noraidah, berusia 39 tahun, selamat.
Pada waktu kejadian, Azmi dan Noraidah berada di dalam rumah sementara tiga ahli keluarga lain berada di tempat lain.
Saat api sedang marak, dikatakan Azmi segera mengeluarkan adiknya dan berusaha memadamkan api yang sedang marak untuk menghindari api daripada merebak ke rumah-rumah bersebelahan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Penolong Penguasa Bomba, Mohamad Hasbullah Nenggok menyatakan, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian kebakaran pada jam 8.02 malam.
Beliau menyatakan, sebanyak 12 pegawai dan anggota berserta dua buah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah dikerahkan ke tempat kejadian.
“Setibanya pasukan operasi di tempat kejadian, didapati sebuah rumah jenis kekal telah terbakar sebanyak 90 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan untuk mengawal kebakaran dan seorang mangsa lelaki yang cuba memadamkan api mengalami kesukaran bernafas,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Beaufort menggunakan jentera EMRS untuk rawatan selanjutnya.
“Anggota kami menghadapi kesulitan untuk masuk ke dalam rumah untuk melakukan pemadaman kerana bekalan elektrik masih aktif, lalu kami menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk mendapatkan bantuan.
“Operasi pemadaman juga dibantu oleh BBP Kuala Penyu untuk sumber air kerana tiada pili bomba atau sumber air terbuka berdekatan dengan lokasi kebakaran,” katanya lagi.
Mohamad Hasbullah menyatakan, operasi berjalan lancar pada jam 8.55 malam dan berakhir sepenuhnya sejam kemudian.
“Punca kejadian masih dalam penyiasatan,” tambahnya.

