
PUTRAJAYA – Ribuan rakyat Malaysia membanjiri Dataran Putrajaya Ahad lalu bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan, namun kisah pengorbanan seorang bapa, Wira Sudepja Rabu, bersama anak istimewanya, Nur Wadihan, 17, menyentuh hati ramai.
Bagi keluarga dari Seri Kembangan ini, sambutan kali ini begitu bermakna kerana ia merupakan kali pertama mereka berjaya menyaksikan perbarisan Merdeka secara langsung, selepas dua tahun mencuba tetapi terhalang oleh kesesakan orang ramai.
Demi memastikan kelancaran, Wira bersama isteri telah turun seawal Sabtu untuk meninjau lokasi parkir, selain membawa basikal khas bagi memudahkan pergerakan anaknya yang terlantar akibat Cerebral Palsy.
Meskipun hanya dapat duduk di bahagian belakang pentas utama dan tidak berpeluang melihat dengan jelas, pengalaman itu tetap dianggap amat berharga.
“Pertunjukan udara sangat hebat, dan saya bangga dapat menyaksikannya sendiri. Walaupun tidak dapat berada di bahagian hadapan kerana anak memerlukan kerusi roda, suasananya tetap meriah. Kami pasti akan datang lagi,” katanya.
Sejak 11 tahun lalu, Wira tidak pernah jemu membawa anaknya menyertai pelbagai aktiviti luar termasuk berlari, berbasikal dan marathon di dalam serta luar negara seperti Thailand dan Singapura.
Setiap kali berlari atau berkayuh bersama, wajah Nur Wadihan tidak lekang dengan senyuman yang memberi tanda dia faham dan menikmati kebebasan itu.
“Bila saya bawa dia, saya tahu dia gembira. Inilah cara saya mahu bawa mesej terbuka tentang kondisi anak istimewa, supaya masyarakat tidak memandang pelik. Orang jadi lebih terbuka, malah komuniti menyambut baik,” ujarnya.
Bagi Wira, erti kemerdekaan bukan hanya bebas daripada penjajahan, tetapi juga kebebasan anak istimewa untuk diraikan bersama masyarakat tanpa batasan.
“Dengan cara ini, orang nampak kemampuan dia, bukan kekurangan. Inilah mesej kebersamaan, keterangkuman dan inklusif yang perlu kita bawa bersama,” katanya.




