SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mempersoalkan dari mana sumber kutipan RM50 juta yang berjaya dikumpulkan kepimpinan UMNO bagi membayar denda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International.
Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR negeri itu, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, persoalan mengenai identiti penyumbang, jumlah sumbangan setiap individu serta sumber dana perlu dijawab secara terbuka bagi memastikan kutipan berkenaan tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat.
Mengulas lanjut, Dr Sathia mempersoalkan bagaimana jumlah sebesar itu dapat dikumpulkan bagi menjelaskan denda seorang bekas Perdana Menteri ketika sebahagian rakyat masih bergelut menanggung kos sara hidup, bil perubatan serta keperluan pendidikan anak-anak.
"Berapa banyak keluarga susah yang sebenarnya boleh dibantu dengan jumlah sebesar itu? Saya mempersoalkan keutamaan di sebalik kutipan berkenaan ketika masih ramai rakyat memerlukan bantuan kewangan.
"Saya juga tertanya-tanya mengapa masih terdapat sebahagian rakyat yang begitu bersungguh-sungguh mempertahankan Najib meskipun beliau telah disabitkan dalam kes penyelewengan dana SRC International," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Untuk rekod, Najib pada 6 November lalu melunaskan denda RM50 juta yang ditetapkan sebagai salah satu syarat pengampunan bersyarat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.
Pembayaran itu membolehkan bekas Presiden UMNO berkenaan menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun, pelaksanaan perintah berkenaan pada mulanya tertangguh selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon penjelasan lanjut berhubung tafsiran perintah pengampunan dan kesan pembayaran denda tersebut.
Pada 10 November, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah baharu yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman berkenaan di kediamannya, sekali gus menggantikan perintah terdahulu bertarikh 6 November.
Sebelum ini, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan pada Januari 2024 mengurangkan hukuman penjara itu kepada enam tahun, manakala dendanya dikurangkan kepada RM50 juta.
Tambah Sathia, kesetiaan politik tidak seharusnya mengatasi prinsip amanah dan kebertanggungjawaban, apatah lagi apabila melibatkan pemimpin yang pernah diberikan mandat untuk mentadbir negara.
Katanya, masyarakat perlu menilai mesej yang disampaikan kepada generasi muda sekiranya kesalahan seseorang pemimpin terus dipertahankan atas alasan jasa, populariti atau kesetiaan politik.
"Hak individu untuk menyumbang wang bagi tujuan tertentu tidak dipertikaikan, namun tahap ketelusan perlu diberikan perhatian serius apabila kutipan berkenaan membabitkan parti politik yang berada dalam kerajaan.
"Justeru, saya menggesa supaya senarai penyumbang utama, jumlah sumbangan dan rekod kewangan berkaitan didedahkan kepada umum bagi membolehkan masyarakat menilai sendiri ketelusan proses berkenaan," ujarnya.
Dr Sathia turut membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan sumbangan berkenaan mewujudkan persepsi bahawa penyumbang berpotensi mengharapkan pulangan dalam bentuk projek, kontrak atau layanan istimewa pada masa hadapan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa persoalan itu bukan tuduhan terhadap mana-mana penyumbang, sebaliknya satu kebimbangan yang perlu dijawab melalui mekanisme ketelusan dan akauntabiliti.
"Budi kepada individu menderma jangan dibayar dengan kuasa kerajaan. Rakyat berhak mendapat penjelasan, bukan sekadar diminta percaya," katanya.





