
SHAH ALAM – Tindakan seorang pembantu pentadbiran syarikat penghantaran bateri kenderaan mencuri 65 barangan di sebuah rangkaian pemborong termasuk putik kapas memakan diri apabila didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman turut memerintahkan Mohd. Aslizan Mustafa Maarof, 39, dipenjara 10 hari jika gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan pilihan, bapa kepada tujuh anak itu didakwa mencuri 65 barangan bernilai RM730.97 di sebuah rangkaian pemborong di Subang Jaya dekat sini, kira-kira pukul 7 malam pada 20 Disember tahun lalu.
Antara barangan yang dicuri ialah ubat gigi, minyak angin bayi, penyembur nyamuk, kiub pati ayam, jamu, kek lapis dan putik Kapas serta majalah Upin Ipin.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S. Vijeswari Devi, dalam mitigasinya memaklumkan tertuduh mempunyai tujuh anak, dengan seorang daripadanya merupakan kategori autistik.
“Tertuduh juga mempunyai masalah jantung dan akan kehilangan punca pendapatan sekiranya disabitkan kesalahan.
“Justeru, kami memohon bon di bawah Seksyen 173A Kanun Tatacara Jenayah tanpa direkodkan sabitan kesalahan. Tertuduh juga sedia membayar pampasan sekiranya bon tidak dibenarkan serta memohon hukuman denda minimum,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni memohon hukuman setimpal dan membayar pampasan kepada pasar raya itu. – KOSMO! ONLINE
The post Denda RM2,000 kebas 65 barang termasuk putik kapas appeared first on Kosmo Online.


