
SHAH ALAM – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pemuda menggunakan tukul, tiga minggu lalu.
Tertuduh, M. Rajasehgar, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Cynthia Noor Haizean Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, Rajasehgar didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 25 tahun menggunakan tukul di sebuah unit rumah di U13 Setia Alam, kira-kira pukul 5 petang pada 6 Ogos lalu.
Sabit kesalahan boleh penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Feizal Hakimie Dzollani.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,800 dan menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan urusan menuntut baki pinjaman wang daripada seorang kenalan bertukar mimpi ngeri buat sepasang kekasih apabila mereka dipukul, dipaksa melakukan hubungan seks dan amang seksual di sebuah residensi di Setia Alam.
Mangsa dan teman wanitanya bertemu dengan suspek untuk menuntut baki pinjaman wang sebanyak RM10,000 yang dibuatnya daripada along menggunakan kad pengenalan mangsa.- KOSMO! ONLINE
The post Penganggur nafi cederakan pemuda guna tukul appeared first on Kosmo Digital.






