Denda terhadap Sinar Harian, Sin Chew berisiko cetuskan ketakutan - Majlis Media Malaysia

LocalPolitics
19 Sep 2025 • 6:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Denda terhadap Sinar Harian, Sin Chew berisiko cetuskan ketakutan - Majlis Media Malaysia

image is not available

19/09/2025 - 18:09

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept – Denda RM100,000 yang dikenakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Sin Chew Media Corporation Bhd dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd disifatkan melampau dan terlalu berat.

Majlis Media Malaysia (MMM) berkata, hukuman itu boleh mencetuskan rasa takut serta berisiko menjejaskan penapisan maklumat dalam bilik berita.

"Kami sangat menghormati ketepatan dalam setiap laporan apatah lagi terhadap simbol kebangsaan yang perlu dipelihara.

“Namun, kesilapan editorial yang tidak disengajakan wajar diperbetulkan, bukannya dihukum dengan penalti besar yang boleh menjejaskan operasi media, melemahkan fungsi semak dan imbang, serta mengehadkan kepelbagaian suara,” kata MMM dalam satu kenyataan.

image is not available

Hari ini, MCMC telah mengenakan kompaun masing-masing sebanyak RM100,000 terhadap Sin Chew Media Corporation Berhad (Sin Chew) dan Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. (Sinar) selepas menerima izin mengkompaun daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

MCMC berkata, tindakan terhadap Sin Chew diambil susulan siasatan MCMC yang mendapati organisasi tersebut telah memuat naik ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap di akhbar digital miliknya.

Sinar Harian dikenakan kompaun berikutan siaran di akaun Instagram rasmi organisasi tersebut yang memuat naik profil mengandungi maklumat tidak benar mengenai Ketua Polis Negara.

Dakwaan yang dibuat melibatkan jawatan kepimpinan tertinggi sebuah parti politik tempatan.

Kedua-dua siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 \[Akta 588], dengan hukuman seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 233(2).

Manakala tindakan kompaun dibuat menurut Seksyen 243 akta yang sama.

Tambah MMM, industri media kini sedang berdepan transformasi digital yang pesat termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Justeru, pendekatan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara lebih seimbang bagi mengelakkan kesan negatif terhadap inovasi dan kelangsungan operasi media.

“Dialog antara MCMC, Kementerian Dalam Negeri, organisasi media dan Majlis Media Malaysia amat diperlukan bagi membangunkan garis panduan jelas, telus serta kolaboratif.

"Matlamat bersama ialah melindungi integriti kewartawanan dan memastikan masyarakat terus mendapat maklumat yang sahih,” kata MMM. - DagangNews.com

featured standard