‘Dengan izin Allah, saya dan isteri bercerai 173 hari lalu’

LocalEntertainment
22 Sep 2026 • 5:41 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Dengan izin Allah,  saya dan isteri bercerai 173 hari lalu’

PETALING JAYA – Sekian lama mengunci mulut, pelakon Fikry Ibrahim mengesahkan rumah tangga yang dibina dengan Siti Khalizah Alihan berakhir selepas mereka bercerai sejak April lalu.

Fikry atau nama sebenarnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 32, berkata, dia sengaja mengambil masa sebelum mendedahkan perkara tersebut kepada umum atas alasan mahu melalui kehidupan lebih tenang.

“Dengan izin Allah, saya ingin berkongsi bahawa saya dan bekas isteri berpisah sejak 173 hari yang lalu.

“Saya memilih untuk mengambil sedikit masa sebelum berkongsi kerana ada perkara yang lebih baik disimpan dan dilalui dengan tenang.

“Bukan kerana mahu menyembunyikan, tetapi kerana saya perlukan ruang untuk mengumpul kekuatan dan menerima ketentuan-Nya,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.

Menurutnya lagi, dia enggan menuding jari atau meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak berhubung perpisahan tersebut, sebaliknya menerima ketentuan Allah SWT.

“Tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Ada perjalanan yang Allah izinkan untuk kita tempuh bersama, dan ada perjalanan yang akhirnya membawa kita ke jalan yang berbeza,” ujarnya.

Menerusi perkongsian sama, bekas pengacara Melodi itu turut menitipkan doa buat bekas isterinya agar sentiasa berada dalam peliharaan Allah serta dikurniakan kebahagiaan.

“Saya juga berdoa agar Allah memberikan saya ketenangan, kekuatan dan kebahagiaan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Fikry juga mengakui Siti Khalizah pernah menjadi insan yang dicintai serta sebahagian daripada perjalanan hidupnya, sekali gus dia memilih untuk mengenang hubungan mereka dengan doa serta penghargaan.

“Walaupun kini kami tidak lagi bersama, dia tetap pernah menjadi seseorang yang saya cintai dan pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya.

“Untuk itu, saya memilih untuk mengenangnya dengan doa, dan terima kasih kerana pernah menjadi isteri saya,” katanya.

Mengakhiri perkongsian, Fikry mendoakan agar mereka berdua diberikan perlindungan dan keampunan serta mampu meneruskan kehidupan dengan lebih baik selepas melalui fasa tersebut.

“Semoga Allah menjaga kita masing-masing, mengampuni segala kekurangan, dan menggantikan setiap yang telah berlalu dengan sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Fikry dan Siti Khalizah mendirikan rumah tangga pada 12 Februari tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup di Jitra, Kedah.

Bagaimanapun, beberapa bulan selepas berkahwin, Siti Khalizah dilaporkan memfailkan permohonan cerai terhadap Fikry di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas alasan tiada persefahaman.

Pada Jun pula Siti Khalizah dilaporkan menarik balik permohonan cerai yang difailkannya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Dengan izin Allah, saya dan isteri bercerai 173 hari lalu’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved