Dengar Suara Tapi Tak Nampak Orang, Ini Kronologi Kisah Pelajar Tahfiz Hilang 4 Hari Dalam Kebun Getah

Entertainment
26 Jun 2023 • 11:26 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pelajar tahfiz yang dilaporkan hilang selama empat hari ditemui dalam keadaan lemah tetapi masih sedar dalam kawasan getah di Kampung Tanjong Sejarah dekat Gerik.

Muhammad Naufal Adzimi Mohd Harriz, 17, dijumpai pada pukul 10.48 pagi Ahad oleh Pasukan SAR, berhampiran sebuah paya iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi motosikalnya dijumpai.

Kata pihak bomba, remaja itu lemah dipercayai kerana tidak makan sepanjang kehilangannya, sebaliknya hanya bergantung sumber air paya dalam kebun berkenaan.

Menurut bapanya, Mohd Harriz berkata ketika kejadian, Naufal keluar dari rumah pada awal pagi Rabu untuk menunaikan solat subuh di Masjid Jamek Gerik sebelum hilang dan tidak pulang.

Semasa pencarian anaknya, dia hanya menemukan motosikal di kawasan kebun berkenaan sebelum dia melaporkan kehilangan anaknya itu kepada pihak polis.

Terdengar suara orang memanggil, tapi tak nampak sesiapa

Pelajar itu memberitahu ketika menunggang motosikal seorang diri, tiba-tiba dia hilang kawalan sebelum tidak sedarkan diri.

Ujar Mohd Harriz, anaknya mengatakan dia berada di kebun getah itu hanya sehari sahaja sedangkan kehilangannya selama empat hari.

“Dia maklumkan tak sedar di mana dia berada. Pada masa sama, dia menyatakan ada mendengar suara pasukan SAR serta individu dikenali selain nampak cahaya-cahaya, namun tak nampak orang,” katanya.

image is not available

Ada ‘tok’ minta ajar mengaji

Mengenai unsur mistik yang dikaitkan dengan kehilangan itu, Mohd Harriz berkata, anaknya tidak bercerita langsung mengenai sebarang unsur tersebut.

“Tentang unsur mistik, dia tak beritahu apa-apa, lagi pun kami tak mahu tahu fasal itu apatah lagi ada ustaz yang beritahu jangan tanya fasal ‘alam lain’ kepadanya.

“Cuma ada beberapa orang yang pandai bab itu, scan dan dapat berinteraksi dengan Naufal di alam lain (ketika hilang) dan memaklumkan dia beritahu kata ada ‘tok’ yang minta tolong ajar mengaji dengan budak-budak di alam itu,” katanya.

Difahamkan, lokasi penemuan mangsa sebelum ini telah dibuat pencarian, namun kemungkinan situasi mangsa yang bergerak menyebabkan dia tidak dijumpai.

Terdahulu, media melaporkan mangsa dikatakan mengalami gangguan emosi, berkemungkinan mengalami tekanan pembelajaran susulan bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

Sumber: Bernama, Kosmo!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.