Deretan Gerai Depan Bangunan Sultan Abdul Samad Cetus Tanda Tanya, Netizen Desak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Bertindak

18 Feb 2026 • 3:28 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Kemunculan deretan gerai makanan dan minuman di kaki lima berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad pada waktu malam mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai yang menyifatkan pemandangan ikon bersejarah itu seolah-olah ‘terganggu’.

Menerusi satu hantaran tular di media sosial, seorang individu memuat naik gambar menunjukkan beberapa gerai menjual air dan makanan ringan beroperasi betul-betul di hadapan bangunan ikonik berkenaan. Difahamkan, harga minuman mencecah RM7 segelas, dipercayai dipengaruhi faktor lokasi yang menjadi tumpuan serta permintaan tinggi dalam kalangan pengunjung warga kota.

Menurut pengguna tersebut, kawasan itu mempunyai keindahan tersendiri terutama dengan pencahayaan malam yang menyerlahkan seni bina klasiknya. Namun, kehadiran peniaga dikhuatiri menjejaskan imej dan suasana, selain menimbulkan kebimbangan sekiranya dibiarkan berlarutan.

“Macam mana tiba-tiba boleh ada bazar menjelang malam depan Bangunan Sultan Abdul Samad? Pemandangan dan bangunan sudah lawa, tapi ‘kacau’ pula dengan perniagaan.

Jangan biarkan, mulakan dan biasakan. Cegah sebelum merebak. DBKL mohon pantau,” katanya.

Netizen Bimbang Isu Kebersihan, Laluan Sesak

Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai pengguna media sosial berkongsi kebimbangan sama, antaranya berkaitan kebersihan, pengurusan sisa makanan, kesesakan laluan pejalan kaki serta faktor keselamatan pengunjung.

Ada yang mempersoalkan status kelulusan operasi gerai memandangkan kawasan sekitar sering menjadi lokasi acara rasmi, aktiviti pelancongan dan tumpuan orang ramai khususnya pada hujung minggu.

“Mula-mula jual air. Lepas itu jagung bakar. Lepas itu tambah lagi. Lepas itu tambah kerusi. Lepas itu jadi pasar,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi turut memetik nama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sambil meminta pihak berkuasa mengambil tindakan agar imej bangunan ikonik itu tidak tercemar di tengah ibu kota.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung status operasi gerai tersebut sama ada mendapat kebenaran pihak berwajib atau sebaliknya.

Baru ‘Bernafas Semula’, Sudah Timbul Isu

Untuk rekod, Bangunan Sultan Abdul Samad baru sahaja dibuka semula kepada orang ramai pada 2 Februari 2026 selepas menjalani kerja pemuliharaan. Pembukaannya kembali menerima pujian warga tempatan dan pelancong luar yang teruja melihat wajah baharu yang lebih segar dan bersih.

Disebabkan ia baru sahaja ‘bernafas semula’, isu lambakan penjaja serta potensi kekotoran di kawasan berkenaan pastinya menjadi topik sensitif dalam kalangan peminat warisan negara.

Gambar serta video yang dikongsi di media sosial turut memaparkan suasana sekitar bangunan tersebut pada waktu malam dengan kehadiran gerai di laluan pejalan kaki, yang menurut sebahagian netizen sedikit sebanyak menjejaskan pemandangan.

Dakwaan Penjaja Imigran, Isu Sisa Buangan Jadi Kebimbangan

Dalam pada itu, ada netizen mendakwa majoriti penjaja terdiri daripada golongan imigran, antaranya berdasarkan kewujudan gerai makanan sunda seperti cilok. Namun, dakwaan tersebut belum dapat disahkan.

Seorang pengguna turut mendakwa telah menyedari kehadiran penjaja sejak minggu pertama pembukaan semula, namun pada ketika itu mereka berniaga sedikit jauh dari kawasan mercu tanda.

Kebimbangan utama yang dibangkitkan ialah sisa buangan seperti plastik, straw dan tumpahan air manis yang berpotensi menarik haiwan perosak serta meninggalkan kesan kotoran kekal jika tidak dikawal rapi.

Sebagai mercu tanda utama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, kawasan Dataran Merdeka sepatutnya kekal mesra pelancong. Namun, meja jualan dan troli yang memenuhi kaki lima dilihat menyukarkan pergerakan pengunjung yang mahu mengambil gambar atau menikmati suasana sejarah.

Rata-rata berharap pihak berkuasa tempatan dapat melakukan pemantauan awal sebelum isu ini menjadi lebih besar, demi menjaga imej warisan negara dan wajah Kuala Lumpur di mata dunia. – The Malaysian Update

The post Deretan Gerai Depan Bangunan Sultan Abdul Samad Cetus Tanda Tanya, Netizen Desak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Bertindak appeared first on The Malaysian Update.