
BATU PAHAT – Kebakaran besar yang memusnahkan deretan kedai di Pekan Semerah, pada Rabu disifatkan sebagai insiden paling besar pernah berlaku di kawasan tersebut.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, hasil tinjauan mendapati kebanyakan premis yang terlibat mengalami kerosakan teruk, termasuk ada yang musnah sama sekali.
“Bantuan awal telah disalurkan melibatkan makanan dan pakaian kepada mangsa.
“Bagaimanapun, selepas ini, fokus akan diberikan kepada penilaian kerosakan sebelum kadar bantuan seterusnya diputuskan mengikut keperluan mangsa.
“Apa pun, syukurlah tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kebakaran.
Menurutnya, bantuan susulan akan diselaraskan selepas penilaian dibuat oleh pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pejabat Daerah Batu Pahat bagi menentukan punca kebakaran dan nilai kerugian.
Tambahnya, rata-rata peniaga reda dengan ujian besar itu, meskipun ada dalam kalangan mereka baru sahaja selesai mengubah suai kedai bagi mencantikkan kawasan perniagaan tersebut.
Jelas Mohd Farid, kejadian berkenaan amat mengejutkan dan beliau berharap semua pihak dapat menghadapi musibah ini dengan penuh kesabaran.
“Kita akan teruskan bantuan awal seperti makanan dan pakaian selepas menilai kerosakan yang berlaku.
“Kita akan beri laluan kepada pihak bomba, polis dan pejabat daerah untuk menentukan punca kebakaran serta menilai kerosakan dan sebagainya.
“Langkah ini akan memudahkan kita menyalurkan bantuan berdasarkan kerosakan yang dialami,” katanya.

