Tiga lot kedai musnah, kebakaran di Semporna

19 Aug 2025 • 2:51 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SEMPORNA: Tiga lot kedai sebuah premis barangan rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Seri Melor Tinagayan pada Ahad.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.53 petang melalui  nombor kecemasan S999.

Seramai 28 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dikerahkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera bomba, sebuah kenderaan EMRS dan pacuan empat roda (4WD).

Pasukan tersebut turut dibantu anggota dari BBP Air Semporna dan BBP Kunak.

Sebaik tiba komander operasi melaporkan deretan tiga lot kedai bangunan dua tingkat musnah 90 peratus.

Api turut merebak ke sebuah klinik pergigian di tingkat atas yang rosak kira-kira 50 peratus.

“Pasukan bomba berdepan cabaran kerana tekanan air rendah daripada pili bomba. Pasukan kemudiannya menerima bantuan tangki air dari Jabatan Air Sabah.

“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki dengan enam pancutan air berpunca daripada jentera bomba, pili bomba, tangki Jabatan Air dan sumber air terbuka,” katanya.

Api berjaya dikawal pada jam 8.19 malam dan tiada korban jiwa dilaporkan.

Operasi tamat pada jam 12.52 pagi.

Sementara itu di Kunak tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan bangunan Maganting Plaza di pekan Kunak daripada musnah dalam kebakaran pada kira-kira jam 10 pagi Isnin.

Sebuah pasukan dikerahkan ke lokasi dengan sebuah jentera FRT dan kenderaan EMRS.

Siasatan awal mendapati terdapat kesan terbakar pada timbunan kotak kertas terbuang di bawah tangga salah sebuah lot kosong di bangunan itu.

Kejadian turut merosakkan beberapa kabel pendawaian berhampiran serta menyebabkan kebakaran kecil pada sebuah kotak elektrik.

Sementara itu Pegawai Eksekutif MDKNK Mohd Nazri Pintal yang turut berada di lokasi berkata mereka menerima laporan daripada pasukan penguatkuasa Majlis yang kebetulan membuat rondaan di kawasan bandar.

“Kami ingin mengingatkan semua penyewa atau peniaga agar tidak menyimpan sisa buangan termasuk barangan mudah terbakar seperti kotak terbuang di tempat tersembunyi atau tidak sesuai.

“Kecuaian boleh mengakibatkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kebakaran. Semua sisa mudah terbakar mesti ditempatkan atau dibuang di kawasan yang sepatutnya,” katanya.