Derita senyap si anak kecil

LocalHealth & Fitness
20 Mar 2026 • 9:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ammar nampak sihat dan aktif namun menghidap kanser buah pinggang.
image is not available
Fatin Nur Atiqah (dua dari kanan) menunjukkan kesan pembedahan pada perut Ammar kepada Zuraini (dua dari kiri).

JITRA – Di sebalik wajah ceria dan senyuman yang tidak pernah lekang, tersembunyi penderitaan besar ditanggung seorang kanak-kanak berusia lima tahun apabila kedua-dua buah pinggangnya rosak akibat kanser dihidapinya.

Muhammad Ammar Iffat Mohd Nizam, disahkan menghidap kanser buah pinggang jenis Bilateral Wilms Tumor sejak berusia setahun, selain kegagalan kedua-dua buah pinggang akibat genetik.

Ibunya, Fatin Nur Atiqah Zaidan, 31, berkata, dia mula menyedari keadaan itu apabila menemui ketulan keras di pinggang anak kedua daripada tiga beradik itu ketika masih kecil.

Menurutnya, pada mulanya mereka menyangka ketulan itu tidak berbahaya selepas doktor di Hospital Jitra memaklumkan mungkin hanya tulang selangka.

“Namun dua minggu kemudian, ketulan itu semakin membesar menyebabkan suami membawa Ammar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk pemeriksaan lanjut.

“Selepas menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT), doktor memaklumkan ketulan pada buah pinggangnya semakin membesar,” katanya di rumahnya di Kampung Bukit Berangan, Mukim Binjal.

Fatin Nur Atiqah berkata, ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19, doktor akhirnya mengesahkan Ammar menghidap kanser dan kerosakan buah pinggang tahap lima.

Ujar Fatin, anaknya kemudian dipasang kemopod bahagian dada sebelum menjalani rawatan intensif melibatkan 24 pusingan kemoterapi dan tujuh kali radioterapi di Hospital Pulau Pinang.

“Pada 13 Mei 2022, Ammar turut menjalani pembedahan membuang sel tumor pada kedua-dua buah pinggang.

“Selepas rawatan kemoterapi, keadaannya semakin baik, tetapi perlu menjalani dialisis kerana fungsi buah pinggangnya sudah terjejas,” ujarnya.

**media[3468555]**

Menurutnya, disebabkan jarak rumah mereka yang jauh dari hospital, Ammar kini menjalani rawatan dialisis sendiri di rumah dengan pemantauan doktor.

Tambahnya, anaknya juga perlu mengambil ubat sepanjang hayat melalui tiub dipasang pada hidung setiap hari.

“Kalau dilihat secara luaran, Ammar nampak sihat dan sangat aktif bermain, tetapi sebenarnya menahan kesakitan.

“Sebagai ibu, saya hanya mampu berdoa dan terus kuat untuk menjaganya,” katanya.

Dia yang tidak bekerja berkata, mereka sekeluarga kini bergantung kepada pendapatan suami, Mohd Nizam Zainol, 36, yang bekerja sebagai operator mesin padi.

Katanya, Ammar perlu menjalani pemeriksaan berkala di beberapa hospital termasuk Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang bagi memantau keadaan jantung selain rawatan genetik.

“Saya juga perlu membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah setiap dua minggu untuk bertemu pakar dan setiap enam minggu bagi prosedur ‘flushing’ kemopod,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, kanser jenis Bilateral Wilms Tumor yang dihidapi Ammar merupakan penyakit jarang berlaku apabila menyerang kedua-dua buah pinggang serentak.

Menurutnya, ia merupakan sejenis tumor embrio atau nephroblastoma yang lazim menyerang kanak-kanak.

Katanya, pihak CSM akan terus memberi sokongan moral kepada keluarga pesakit selain menghulurkan bantuan kewangan serta barangan keperluan bagi meringankan beban mereka.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam milik Fatin Nur Atiqah Zaidan di nombor 0203 90252 09790.