
NIBONG TEBAL – Desasiswa Jaya Lembaran Utama Universiti Sains Malaysia (USM) muncul sebagai johan Malam Variasiswa 2025 selepas mengetengahkan persembahan penuh bertenaga dan memukau pada acara kemuncak Program Siswa Lestari 2025/2026 yang menghimpunkan pelajar Tahun 1 dari semua desasiswa Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.
Kemenangan berganda itu turut diserikan dengan kejayaan merangkul Anugerah Persembahan Terbaik dan mendominasi pentas dengan kreativiti dramatik serta mesej kelestarian yang mendalam.
Mengangkat tema USM For Future: A Sustainable Journey, program berprestij yang buat julung kalinya dianjurkan di Kampus Kejuruteraan itu menyaksikan sebanyak lapan desasiswa berentap dalam suasana penuh warna, energi dan magis. Setiap desasiswa menampilkan persembahan kebudayaan, drama-tari dan sketsa beremosi yang mengangkat agenda kelestarian universiti melalui pengisahan kreatif dan gaya persembahan masing-masing, menjadikan edisi kali ini antara yang paling bermakna sepanjang 21 tahun penganjurannya.
Malam Variasiswa 2025 yang berlangsung bersempena Festival Gegaq 2025 (5–7 Disember) dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Kampus Kejuruteraan, Prof. Ir. Dr. Mariatti Jaafar, Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA, Shukeri A. Rahaman; Pengerusi Majlis Penggawa, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff; YDP MPP USM, Azfar Al Hafiz Azman dan Pengarah Projek Malam Variasiswa 2025, Ahmad Husaini Shaharuddin, selain barisan dekan, penggawa serta pegawai utama universiti.
Dalam ucapannya, Prof. Wan menegaskan bahawa Malam Variasiswa merupakan wadah penting dalam kalendar pembangunan mahasiswa USM, bukan sekadar platform menonjolkan bakat dan kreativiti pelajar tahun pertama, malah menjadi cerminan aspirasi universiti dalam membentuk pelajar holistik, berdaya saing dan berjiwa kepimpinan. Beliau menyifatkan program itu sebagai pemangkin semangat kesepunyaan dalam komuniti kampus yang terus bergerak ke arah kelestarian.
Selain kategori utama, Malam Variasiswa 2025 turut mempertandingkan beberapa anugerah lain termasuk Anugerah Freshies Terbaik dan Anugerah PPSL Terbaik, sementara suasana malam turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh Kumpulan Kesenian ADIKARMA USM.
Dalam kategori Anugerah Utama Persembahan, tempat naib johan dimenangi Desasiswa Tekun manakala Desasiswa Indah Kembara membawa pulang tempat ketiga. Anugerah Khas Juri pula diberikan kepada Desasiswa Saujana atas kreativiti persembahan yang menonjol. Bagi kategori Sorakan Terbaik, Desasiswa Indah Kembara diumumkan sebagai johan, diikuti Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan selaku naib johan dan Desasiswa Jaya Lembaran Utama di tempat ketiga.

