hamden07/08/2026 - 09:10 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Ogos – Taikun hartanah, Tan Sri Desmond Lim Siew Choon dan isterinya, Puan Sri Tan Kewi Yong, telah memindahkan keseluruhan pegangan unit mereka dalam Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) kepada sebuah syarikat pelaburan khas (SPV), Khuan Choo Assets Sdn. Bhd.
Pemindahan itu melibatkan 845.425 juta unit milik Lim, bersamaan 21.523% daripada jumlah keseluruhan unit Pavilion REIT, serta 281.875 juta unit milik Tan atau 7.176%, menerusi urus niaga perniagaan secara langsung.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, langkah tersebut menyatukan pegangan kedua-duanya di bawah Khuan Choo Assets, yang kini memiliki 1.127 bilion unit atau 28.699% kepentingan dalam Pavilion REIT.
Bagaimanapun, Lim dan Tan masing-masing masih dianggap mempunyai kepentingan dalam pegangan tersebut menerusi pemilikan mereka dalam syarikat pelaburan khas berkenaan.
Penyusunan semula pegangan itu tidak mengubah kepentingan ekonomi pasangan berkenaan dalam Pavilion REIT, sebaliknya merupakan penstrukturan semula pemilikan dengan menyatukan aset di bawah satu entiti korporat.
Susulan urus niaga itu, Khuan Choo Assets muncul sebagai pemegang unit tunggal terbesar Pavilion REIT, mengatasi Qatar Holdings LLC, cabang pelaburan Qatar Investment Authority, yang memiliki pegangan sebanyak 21.52%.
Selain itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal sebagai antara pemegang unit utama REIT berkenaan dengan pegangan sebanyak 12.277%.
Dalam amalan korporat, penggunaan syarikat kenderaan pelaburan khas lazimnya bertujuan memusatkan pemilikan aset, memudahkan pengurusan pegangan strategik, perancangan pewarisan korporat serta meningkatkan kecekapan dari segi pentadbiran dan transaksi tanpa menjejaskan pemilikan benefisial pemegang saham.
Selain Pavilion REIT, Lim dan Tan turut menguasai kepentingan besar dalam pemaju hartanah Malton Bhd menerusi pegangan sebanyak 33.64% yang dipegang melalui Malton Corp Sdn. Bhd. Lim juga memiliki pegangan langsung sebanyak 3.95% dalam syarikat itu. - DagangNews.com

