
SELEPAS mengejutkan ramai pihak dengan insiden cemas yang mana anak keduanya Rian terjatuh katil sehingga tidak sedarkan diri, personaliti media sosial, Maryam Younarae tampil berkongsi perkembangan terbaharu.
Melalui satu hantaran yang penuh emosi, Maryam meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga apabila tempoh kritikal pemantauan selama 48 jam telah pun berlalu dengan selamat.
Mengimbas kembali kejadian yang tular semalam, dia mengakui insiden tersebut adalah antara fasa paling hitam dan menakutkan sepanjang bergelar seorang ibu.
Detik cemas yang mana anak lelakinya tidak memberikan sebarang respons sejurus terjatuh benar-benar menguji kekuatan diri dan suami, Ryzal Ibrahim.
"Ramai yang pastinya berasa bimbang selepas melihat video dan membaca laporan yang tular. Sebagai seorang ibu, ia merupakan antara detik paling menakutkan yang pernah saya lalui.
"Kami terus membawa Rian ke hospital sejurus selepas kejadian berlaku. Setelah menjalankan pemeriksaan, doktor menasihatkan kami supaya memantau keadaannya dengan teliti selama kira-kira 48 jam sebagai langkah berjaga-jaga," titipnya.

Artikel berkaitan:
- 'Rezeki itu bukan sekadar kerja, tapi keluarga' — Maryam imbangi karier seni dan kehidupan sebagai isteri & ibu
- Maryam & Ryzal elak bergaduh depan anak, akui burnout dalam rumah tangga itu realiti: 'Penat tapi sabar & bertolak ansur'
Berita baik yang ditunggu-tunggu oleh jutaan pengikut mereka akhirnya tiba. Maryam mengesahkan bahawa Rian kini bebas daripada sebarang simptom bahaya dan telah kembali aktif seperti sedia kala.
"Alhamdulillah, tempoh pemantauan selama 48 jam itu kini telah berlalu dan Rian berada dalam keadaan yang baik.
"Dia makan seperti biasa, tidur lena, tersenyum, bermain, mengenali ahli keluarga dan berkelakuan seperti dirinya yang biasa. Sepanjang tempoh pemerhatian itu juga, tiada sebarang simptom luar biasa yang ditunjukkan dan kami amat bersyukur atas keadaan tersebut," titip Maryam.
Tragedi ini seolah memberi tamparan hebat buat pasangan berkenaan. Maryam menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu peringatan besar buat mereka untuk lebih berwaspada pada masa hadapan.

"Pengalaman ini mengingatkan saya bahawa kemalangan yang tidak dijangka boleh berlaku dalam sekelip mata, walaupun kita sudah berusaha sebaik mungkin sebagai ibu bapa. Ia juga membuatkan kami lebih peka dan berhati-hati dalam aspek keselamatan pada masa akan datang.
"Kepada semua yang menghulurkan kata-kata semangat, nasihat, doa dan sokongan, terima kasih dari lubuk hati saya yang paling dalam. Setiap mesej yang diterima memberi ketenangan bukan sahaja kepada saya, malah kepada seluruh keluarga kami.
"Jangan risau. Alhamdulillah, Rian sihat, ceria dan berada dalam keadaan yang baik. Terima kasih sekali lagi atas segala kasih sayang, keprihatinan dan doa yang diberikan," kongsi Maryam.
SinarPlus terdahulu berkongsi pasangan DurianKimchi itu melalui detik cemas mengejarkan Rian ke hospital selepas tidak sedarkan diri akibat terjatuh ke belakang dari katil.
Sekadar info, Rian atau nama penuhnya Nik You Rian dilahirkan pada 19 Februari 2025.
Maryam dan Ryzal yang mendirikan rumah tangga pada 15 Ogos 2019 memiliki anak sulung bernama Nik You Rina yang kini berusia lima tahun.






