
PEMPENGARUH dan usahawan, Ryzal Ibrahim berkongsi detik cemas yang tidak akan dilupakan apabila anak keduanya, Rian, tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari katil.
Menerusi hantaran di Instagram, Ryzal mengakui insiden berkenaan membuatkan dia dan isterinya, Maryam Younarae panik. Momen Maryam berteriak memanggil nama Rian, 16 bulan, ketika mengejarkannya ke pusat perubatan meruntun hati.
Apatah lagi apabila keadaan Rian yang pada mulanya menangis kuat secara tiba-tiba diam dan menutup mata seolah-olah sedang tidur.
"Gugur jantung kami melihat anak sendiri tak sedarkan diri lepas jatuh katil. Kuat dia menangis lepas tu diam dan tutup mata seolah tidur, tiada respon dan kita terus bawa ke emergency.

"Saya dan Maryam berusaha tak nak bagi Rian lelap sepanjang jalan ke Emergency tapi badan dia langsung tiada respon, matanya tertutup walaupun Maryam jerit nama dia sekuat-kuatnya!" kongsinya.
Artikel berkaitan:
- 'Detik paling menakutkan berlaku sekelip mata' - Maryam kongsi insiden Rian tidak respons lepas terjatuh katil, 48 jam dipantau
- Maryam & Ryzal elak bergaduh depan anak, akui burnout dalam rumah tangga itu realiti: 'Penat tapi sabar & bertolak ansur'
Dalam pada itu, Ryzal turut mengakui tidak putus-putus berdoa serta meletakkan sepenuh pergantungan kepada ALLAH SWT agar anak kecilnya kembali sedar. Ryzal mengucapkan syukur anak keduanya itu tersedar sebelum Imbasan Tomografi Komputer atau CT scan dilakukan.

"Ya ALLAH sakitnya melihat isteri jerit nama anak yang kami besarkan kaku, sungguh tiada kata dapat digambarkan. Berharap dan bergantung sepenuhnya kepada kuasa ALLAH SWT supaya diberikan peluang untuk melihat anak kami sedar ya ALLAH.
"Sampai di pintu hospital, Rian mula buka mata dan kami terus minta doktor buat CT scan," kongsinya.
Menurut Ryzal, Rian terjatuh ke belakang dan ini merupakan kali pertama si kecil itu tidak sedarkan diri selepas mengalami insiden sedemikian.
Warganet mengakui sebak dan mendoakan agar si kecil Rian sembuh dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Malah, ramai juga yang berkongsi pengalaman berdepan situasi hampir sama melibatkan anak-anak mereka.
"Saya ikut sebak,semoga Rian kembali sihat seperti sedia kala."
"Saya pun pernah melalui perkara sama. Anak jatuh dari katil dan saya terus membawanya ke hospital kerana terlalu risau. Mujur doktor mendapati keadaannya baik dan masih aktif."

"Been there. Anak tidak memberi respons ketika dalam perjalanan ke hospital dan ketika itu memang rasa seperti gugur jantung. Malah, suami kata itulah momen paling laju dia pernah memandu. Alhamdulillah, sebaik tiba di hospital semuanya dalam keadaan baik. Semoga yang baik-baik sahaja buat Rian."
Sekadar info, Rian atau nama penuhnya Nik You Rian dilahirkan pada 19 Februari 2025.
Maryam dan Ryzal yang mendirikan rumah tangga pada 15 Ogos 2019 memiliki anak sulung bernama Nik You Rina yang kini berusia lima tahun.
Sumber: Instagram






