Dewan kecoh, MP bertikam lidah isu peruntukan wakil rakyat

LocalPolitics
15 Oct 2026 • 3:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dewan kecoh, MP bertikam lidah isu peruntukan wakil rakyat
Shahidan (kanan) dan Zhemin (kiri, atas) bertikam lidah di Dewan Rakyat ketika sesi penerangan menteri di Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR - Sesi penerangan Majlis Perkhidmatan Parlimen di Dewan Rakyat pada Khamis, kecoh apabila ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bertikam lidah berhubung isu pengurusan peruntukan kepada wakil rakyat.

Kekecohan tercetus selepas Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) membangkitkan persoalan mengenai maksud perkhidmatan adil kepada semua ahli Parlimen, selain mencadangkan pengurusan peruntukan wakil rakyat diserahkan kepada Parlimen.

Malah beliau mendakwa, ahli Parlimen pembangkang tidak menerima peruntukan dengan mempersoalkan mengapa pengurusannya masih membabitkan campur tangan pihak eksekutif.

"Jadi kita minta peruntukan yang diberi kepada ahli Parlimen kerajaan, diuruskan oleh Parlimen dan Parlimen uruskan (peruntukan) ahli Parlimen.

"Perdana Menteri tidak boleh kacau lagi, kita ada Parlimen. Speaker jadi bos, kamu adalah ketua kami sekarang," katanya.

Mendengar perkara itu, Chong Zhemin (PH-Kampar) bangun membantah kenyataan Shahidan dan menegaskan bahawa peruntukan berkenaan di bawah bidang kuasa eksekutif.

"Jangan kelirukan kuasa legislatif dengan eksekutif. Peruntukan itu kuasa eksekutif, kuasa eksekutif itu Perdana Menteri boleh tentukan nak beri kepada siapa.

"Arau (Shahidan) sudah keliru, hak Parlimen dengan kuasa Parlimen pun tidak faham," celahnya.

Pertikaman lidah berterusan apabila kedua-dua Ahli Parlimen saling mencelah, sebelum Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, meminta mereka supaya duduk.

Johari menegaskan, Parlimen kini diberikan kuasa untuk mentadbir urusannya sendiri tanpa campur tangan pihak eksekutif, justeru semua pihak perlu memberi ruang kepada proses perbincangan.

"Amat malang, baru kita katakan, Parlimen sekarang ini diberikan kuasa untuk mentadbir diri sendiri tanpa ganggu gugat daripada eksekutif.

"Biarlah wakil-wakil ini duduk dulu. Majlis Peralihan Pentadbiran dan Perkhidmatan Parlimen pun baru tubuh, biarlah mereka berbincang.

"Wakil daripada pembangkang dua orang, bincang dulu. Saya pengerusi akan dengar kedua-dua pihak dan berlaku adil kepada semua," tegasnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved