
Kota Kinabalu: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2025 berjumlah RM1,186,923,403 bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan serta pelaksanaan projek berorientasikan rakyat hingga hujung tahun ini.
Sebahagian besar daripada peruntukan tambahan itu berjumlah RM523.5 juta, akan digunakan untuk menyelesaikan dua isu utama — bekalan air dan infrastruktur jalan raya —menunjukkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menangani permasalahan tersebut.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang membentangkan rang undang-undang tersebut berkata, peruntukan tambahan itu melibatkan 53 kepala perbelanjaan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Beliau berkata, bajet tambahan 2025 itu akan membiayai enam kategori perbelanjaan iaitu sumbangan kepada dana berkanun (RM600 juta atau 51 peratus), perbelanjaan pentadbiran (RM204 juta atau 17 peratus), perbelanjaan operasi (RM195 juta atau 16 peratus), geran dalam negeri (RM84 juta atau 7 peratus), tujuan pelaburan (RM54.4 juta atau 5 peratus) dan peruntukan khas (RM50.7 juta atau 4 peratus).
Masidi berkata, RM789.1 juta daripada peruntukan tambahan itu akan berada di bawah kawalan Kementerian Kewangan, termasuk RM600 juta untuk sumbangan kepada dana berkanun, RM185.5 juta di bawah Perkhidmatan Perbendaharaan Am dan RM3.6 juta untuk perbelanjaan operasi kementerian itu sendiri.
“Daripada sumbangan kepada dana berkanun itu, RM250 juta atau 41.7 peratus akan dimasukkan ke dalam Dana Pembangunan bagi mengurangkan defisit Akaun Pembangunan yang tidak melibatkan aliran tunai. Manakala, RM150 juta atau 25 peratus akan disalurkan ke dalam Tabung Amanah Berkanun bagi penyelenggaraan jalan raya dan jambatan di seluruh Sabah.
“Selain itu, RM200 juta atau 33.3 peratus dicadangkan bagi Tabung Amanah Khas Kerajaan Negeri untuk melaksanakan program Syukur, Budi, Sentosa, Subfly dan Sukses, serta bagi pembinaan dan pembaikan infrastruktur air, jalan dan utiliti,” katanya.
Masidi berkata, RM185.5 juta dicadangkan di bawah Perkhidmatan Perbendaharaan Am, termasuk RM54.4 juta untuk pelaburan ekuiti, RM89.1 juta bagi projek-projek infrastruktur termasuk naik taraf loji rawatan air dan pemasangan paip baharu serta projek infrastruktur dan kemudahan awam berskala kecil dan RM30 juta dalam bentuk geran dalam negeri kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk membersihkan sisa marin di sekitar bandar dan pulau serta menyokong badan bukan kerajaan (NGO).
Sebanyak RM12 juta dicadangkan untuk membiayai projek kemudahan awam, termasuk naik taraf masjid dan pembinaan Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau.
“Tambahan sebanyak RM147.6 juta dicadangkan untuk Kementerian Kerja Raya dan jabatan-jabatannya bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan sistem perparitan, loji rawatan, stesen pam air, pemulihan infrastruktur rosak akibat bencana, penyelenggaraan bangunan kerajaan, kerja pendawaian elektrik, aktiviti penguatkuasaan dan keperluan pentadbiran serta operasi lain.
“Sebanyak RM94.4 juta dicadangkan untuk Jabatan Ketua Menteri dan agensinya bagi membiayai program biasiswa negeri, penyelenggaraan masjid dan surau, penyelenggaraan taman Raudah dan keperluan pentadbiran serta operasi lain,” katanya.
Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah serta agensinya dicadangkan menerima tambahan RM55.7 juta bagi menampung kos penyelenggaraan sistem saliran, pembersihan sungai, tebatan banjir dan kos pentadbiran serta operasi lain.
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta agensinya diperuntukkan tambahan RM25.9 juta, antaranya untuk menyelesaikan pendahuluan tunai bagi bantuan kewangan khas kepada pemimpin adat, geran bantuan, sumbangan penggantian kadar dan penyelenggaraan pihak berkuasa tempatan serta perbelanjaan operasi lain.
Masidi berkata, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat serta jabatan-jabatannya diperuntukkan tambahan RM16.2 juta, termasuk RM4.5 juta bagi menyokong inisiatif kerajaan menyediakan 100 mesin hemodialisis di fasiliti kesihatan terpilih di seluruh Sabah.
“Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri membantu pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan percuma di pusat kesihatan berhampiran. Manakala, RM11.1 juta lagi diperuntukkan bagi bantuan kepada mangsa kebakaran dan banjir, sokongan kepada warga emas, anak yatim dan golongan kurang berkemampuan serta operasi pra-sekolah bagi kanak-kanak berkeperluan khas. Baki peruntukan adalah untuk perbelanjaan pentadbiran dan operasi kementerian ini,” katanya.
Kementerian dan jabatan lain diperuntukkan tambahan RM58 juta bagi pelbagai keperluan, termasuk RM15.6 juta untuk bayaran elaun Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), RM8 juta untuk penganjuran Sukan Sabah ke-11 (Saga) di Tawau dan RM34.3 juta untuk perbelanjaan pentadbiran, operasi dan perkhidmatan lain.
Cadangan Anggaran Pembangunan Tambahan 2025 di bawah Kertas CMD.2 turut memerlukan tambahan RM416,541,291, melibatkan 83 kepala perbelanjaan merentasi 10 kementerian.
Masidi berkata, daripada jumlah tersebut, RM224.5 juta atau 53.9 peratus akan dibiayai daripada Dana Negeri, RM188.5 juta atau 45.3 peratus daripada pinjaman Persekutuan dan RM3.5 juta atau 0.8 peratus daripada bayaran balik Persekutuan.
“Peruntukan terbesar sebanyak RM254.9 juta atau 61.2 peratus di bawah Anggaran Pembangunan Tambahan dicadangkan untuk Kementerian Kerja Raya bagi membiayai projek di bawah Jabatan Kerja Raya, Jabatan Air Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Negeri dan Jabatan Keretapi Negeri Sabah.
“Ini termasuk projek jalan raya di bandar dan majlis daerah kecil, program bekalan air khas, skim pembetungan di bawah pihak berkuasa tempatan dan pembaikan kekal landasan kereta api,” katanya. Daripada jumlah itu, RM187.5 juta dibiayai melalui pinjaman Persekutuan.
Peruntukan kedua terbesar ialah RM82.5 juta untuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi membiayai projek pembangunan luar bandar berskala kecil, pembasmian kemiskinan, Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah (RSRS), Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (Belba – lampu jalan solar dan set jana kuasa) dan Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (Balba – air bersih melalui sistem tadahan graviti dan telaga tiub).
Jabatan Ketua Menteri dicadangkan menerima RM38.5 juta bagi projek pembangunan khas, kerja ukur tanah hak adat anak negeri (NCR) dan rangkaian rujukan kedudukan satelit Sabah, penambahbaikan sistem pelupusan sisa di Kota Kinabalu serta pembinaan masjid dan sekolah agama baharu di bawah Jabatan Hal Ehwal Islam.
Sebanyak RM1 juta tambahan diperuntukkan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Sabah untuk bayaran balik pinjaman Persekutuan.
“Sebanyak RM17.4 juta dicadangkan untuk Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, termasuk RM13.9 juta daripada Dana Negeri untuk membiayai projek di bawah Jabatan Perikanan serta Jabatan Pengairan dan Saliran. Baki RM3.5 juta adalah bayaran balik Persekutuan untuk menyokong projek Makmal Diagnostik Veterinar di Kinarut.”
Sebanyak RM7.7 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, termasuk RM5.7 juta untuk penyediaan tapak kemudahan vendor di Salut dan pembangunan infrastruktur di Zon Perindustrian 7 (IZ7) Fasa 3. Sebanyak RM2 juta lagi adalah untuk kerja infrastruktur di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip), termasuk sambungan elektrik bagi pemasangan lampu jalan Fasa 1 dan 2.
Kementerian Belia dan Sukan diperuntukkan RM4.84 juta bagi membiayai pembinaan dan penyelenggaraan kompleks sukan di seluruh Sabah.
Masidi berkata, RM4.6 juta dicadangkan untuk Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, termasuk pembinaan kemudahan untuk kanak-kanak berkeperluan khas, pusat integrasi untuk orang kurang upaya dan warga emas serta rumah jagaan warga emas.
“Sebanyak RM2.9 juta tambahan dicadangkan untuk Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar bagi menyokong pembangunan Taman-Taman Sabah, aset pelancongan serta naik taraf tapak warisan di bawah Jabatan Muzium Sabah.”
Sebanyak RM2.3 juta lagi dicadangkan untuk Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bagi membiayai kerja landskap dan pembinaan bangunan pejabat pihak berkuasa tempatan serta bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk bayaran akhir Projek E-Desa Kg Pelakat di Sipitang.
“Sebahagian besar peruntukan tambahan yang dicadangkan tahun ini adalah untuk menangani dua isu utama — bekalan air dan jalan raya. Daripada jumlah keseluruhan anggaran tambahan, RM523.5 juta diperuntukkan untuk tujuan itu.
“Ini jelas menunjukkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan isu-isu berlarutan yang sering dibangkitkan rakyat dan turut dipolitikkan oleh pihak berkepentingan,” katanya sambil menambah, keperluan sebenar tahunan bagi menyelesaikan isu air dan jalan secara menyeluruh melebihi RM2 bilion.
Lebih 20 Adun Kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang tersebut.

