Gesaan dana lebih besar untuk Kadamaian, Penampang

LocalPolitics
8 Jul 2025 • 11:29 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Mohd Izham Bin Hashim

Kota Kinabalu: AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menggesa Kerajaan Sabah memperuntukkan dana yang lebih besar kepada Kadamaian dan Penampang menerusi Perbekalan Tambahan Sabah 2025, memandangkan keperluan berterusan dalam pembangunan infrastruktur dan pemilikan tanah adat.

Berucap ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, Ewon menegaskan kepentingan untuk memberi keutamaan kepada penambahbaikan jalan raya dan sistem perparitan di kedua-dua kawasan tersebut.

Beliau berkata, penduduk di Kadamaian sudah lama menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan jalan yang semakin rosak dan memerlukan penyelenggaraan serta naik taraf segera.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Saya berharap kontraktor yang dilantik dapat melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dengan lebih cekap dan secara berkala di Kadamaian,” katanya.

Di Penampang, Ewon menekankan keperluan untuk menambah baik sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir, menyeru kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan secara berterusan bagi melindungi kawasan perumahan dan komersial.

Beliau juga mencadangkan agar peruntukan ditingkatkan untuk program Pantas, yang memudahkan kerja-kerja ukur tanah adat.

Ewon berkata, peruntukan tambahan di peringkat negeri diperlukan bagi melengkapkan dana sedia ada daripada Kerajaan Persekutuan, terutamanya bagi kampung-kampung yang terletak di kawasan berbukit atau di atas tanah yang telah dinyahwartakan daripada hutan simpan sebelum ini.

Selain itu, beliau mencadangkan agar sebahagian daripada peruntukan RM3.5 juta yang disediakan untuk penyelenggaraan kompleks sukan digunakan bagi menggantikan trek larian di Kompleks Sukan Penampang agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti setempat.

“Saya berharap Perbekalan Tambahan ini dapat memenuhi keperluan pembangunan dan pentadbiran rakyat,” katanya.

Ewon turut memuji pengurusan kewangan Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang menerima Sijil Audit Tanpa Teguran daripada Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri.

Beliau menegaskan komitmennya untuk terus menyokong inisiatif yang memperkukuhkan pengurusan kewangan awam dan memenuhi keperluan rakyat di kawasannya.

“Sebagai wakil rakyat Kadamaian dan bagi pihak parti saya, saya akan terus menyokong usaha kerajaan dalam mengekalkan serta meningkatkan amalan kewangan yang baik.”