Dewan Merdeka saksi jatuh bangun UMNO sejak 1985

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 8:24 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dewan Merdeka saksi jatuh bangun UMNO sejak 1985

KUALA LUMPUR – Selepas lebih empat dekad menjadi pentas penting perjuangan UMNO, Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sekali lagi menjadi saksi tekad parti itu untuk bangkit dan kembali menerajui kerajaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Dewan Merdeka yang menjadi lokasi Perhimpunan Agung UMNO sejak 20 September 1985 itu menyaksikan pelbagai episod penting termasuk kemenangan, kekalahan, pergeseran, penyatuan, air mata dan kebangkitan parti.

Menurut beliau, dewan berkenaan turut menjadi saksi kepada pelbagai krisis politik yang pernah melanda UMNO, termasuk pergolakan parti, pengharaman UMNO, krisis politik 1998 serta kehilangan majoriti dua pertiga pada 2008 dan kerajaan Persekutuan pada 2018.

“Dewan ini pernah menyaksikan kemenangan dan kekalahan. Itu hakikatnya. Dewan ini juga telah menyaksikan pergeseran dan penyatuan, air mata dan kebangkitan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, segala sejarah yang tercatat di Dewan Merdeka tidak seharusnya menjadikan perhimpunan UMNO sebagai tempat untuk meratapi nasib atau mengenang kekalahan lalu.

Sebaliknya, beliau berkata, setiap kali parti diuji, dewan berkenaan menjadi tempat untuk UMNO menyusun semula kekuatan dan menentukan sendiri hala tuju masa depannya.

“Perhimpunan ini bukan tempat untuk kita orang UMNO meratapi nasib. Setiap kali kita diuji, di sinilah juga tempatnya kita menyusun semula kekuatan dan melakar masa depan kita sendiri.

“Kerana kita tahu siapa kita. Kita tahu ke mana kita mahu pergi. Kita juga tahu bila langkah perlu dimulakan. Inilah tempatnya di Dewan Merdeka ini,” katanya.

Beliau seterusnya menyatakan keyakinan bahawa sejarah Dewan Merdeka bakal mencatat satu lagi episod penting apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa.

“Pada tahun 2026 atau 2027, awal atau pertengahan atau akhir, insya-Allah dewan ini akan menyaksikan UMNO dan BN berkuasa semula. Insya-Allah,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengimbas bagaimana Dewan Merdeka menjadi saksi kepada perjalanan panjang UMNO sejak 1985, termasuk ketika parti berdepan pelbagai ujian politik yang mencabar kelangsungan perjuangannya.

Katanya, sejarah tersebut membuktikan UMNO mempunyai pengalaman untuk bangkit daripada kekalahan dan perpecahan, selain menyusun semula kekuatan apabila berdepan perubahan politik.

“Dewan ini betul-betul menyaksikan. Tetapi dewan perhimpunan ini bukan tempat untuk kita orang UMNO meratapi nasib,” katanya.

Beliau berkata, apa yang lebih penting ialah menjadikan pengalaman lalu sebagai kekuatan untuk menghadapi masa depan, terutama dalam usaha parti mendapatkan kembali kepercayaan rakyat.

“Di sinilah juga tempatnya kita menyusun semula kekuatan dan melakar masa depan kita sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Dewan Merdeka saksi jatuh bangun UMNO sejak 1985 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved