11 September, tarikh sama bezanya serangan WTC New York dan ‘serangan politik’ Kuala Lumpur

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 6:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 11 September, tarikh sama bezanya serangan WTC New York dan ‘serangan politik’ Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Tarikh 11 September tahun ini mempunyai simbolik tersendiri apabila World Trade Center (WTC) Kuala Lumpur menjadi pentas kepada apa yang disifatkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari sebagai ‘serangan politik’ menerusi ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Fadhli berkata, situasi itu mengingatkannya kepada serangan fizikal terhadap WTC di New York, Amerika Syarikat pada 11 September 2001, yang berlaku tepat 25 tahun lalu.

“Bezanya, 25 tahun lalu WTC di New York menjadi medan serangan fizikal. Hari ini WTC Kuala Lumpur menjadi pentas kepada satu serangan politik.

“Kepada siapa perang itu diisytiharkan? Itu yang menarik untuk diperhatikan selepas ini walaupun semua sudah dapat menekanya,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Menurut bekas Ketua Pemuda Pas itu, ucapan Zahid bertajuk ‘Melakar Masa Depan Bangsa’ sarat dengan mesej politik, khususnya berkaitan hala tuju UMNO serta kemungkinan penyatuan politik Melayu.

Beliau berkata, antara gagasan yang menarik perhatian ialah ‘Tafahum Siyasi’, penyatuan UMNO-Pas tanpa pihak ketiga serta ‘Kolaborasi Agung’ yang mengajak mereka yang pernah meninggalkan UMNO untuk kembali bersama parti.

Fadhli turut menyorot gagasan ‘Agenda Malaysia Biru’ menuju 100 tahun kemerdekaan negara pada 2057 yang membawa maksud Berdaulat, Inovatif, Rakyat Makmur dan Unggul.

“Paling menarik, tanpa segan silu (Datuk Seri) Zahid menyebut, ‘Cukuplah guru, berhentilah…’. Tidak perlu terlalu berselindung untuk membaca kepada siapa sindiran itu ditujukan,” katanya.

Beliau menyifatkan keseluruhan ucapan tersebut sebagai satu ‘pengisytiharan perang politik’ yang cukup berani oleh Presiden UMNO. – KOSMO! ONLINE

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved