Dewan Negara lulus pindaan akta! Tiada lagi ahli politik jadi Pengerusi MCMC

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 8:37 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 yang bertujuan memperkukuh peranan, fungsi, tadbir urus serta operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pengerusi MCMC tak boleh ahli politik

Memetik laporan daripada Bernama, RUU itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan oleh 11 Ahli Dewan Negara.

Ketika menggulung perbahasan, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menyatakan antara pindaan utama ialah larangan melantik ahli politik sebagai Pengerusi MCMC bagi memastikan badan pengawal selia itu lebih bebas dan berintegriti.

“Pengerusi tidak boleh terdiri daripada anggota badan perundangan. Ahli Parlimen tidak boleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga tidak boleh.
“Pindaan yang dibawa ini adalah bagi memastikan kuasa menteri dalam membuat pelantikan dihadkan supaya individu yang dilantik benar-benar berkelayakan,” katanya.

Image from: Dewan Negara lulus pindaan akta! Tiada lagi ahli politik jadi Pengerusi MCMC

Dalam pada itu, Nie Ching memaklumkan MCMC turut memperhebat tindakan penguatkuasaan terhadap kandungan perjudian dalam talian.

Beliau berkata, sehingga 31 Julai tahun ini, sebanyak 222,257 kandungan berkaitan perjudian dalam talian telah diturunkan, selain 6,982 laman sesawang perjudian disekat sejak 2022.

“Setakat 31 Julai tahun ini, sebanyak 222,257 kandungan berkaitan perjudian dalam talian telah diturunkan.
“Tindakan penurunan itu dibuat atas permintaan MCMC dan juga oleh penyedia perkhidmatan. Dalam tempoh 2022 hingga 31 Julai tahun ini juga, sebanyak 6,982 laman sesawang perjudian telah disekat,” katanya.

Menurut beliau, kegiatan perjudian berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala MCMC berperanan memberi bantuan teknikal, analisis forensik digital serta menyekat akses berdasarkan permintaan rasmi agensi penguat kuasa.

Image from: Dewan Negara lulus pindaan akta! Tiada lagi ahli politik jadi Pengerusi MCMC

 

Terdahulu, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkata pindaan tersebut penting memandangkan sektor komunikasi dan multimedia kini menjadi infrastruktur strategik negara yang memerlukan tadbir urus lebih kukuh.

“Kejayaan pindaan ini tidak hanya bergantung kepada kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang, tetapi juga kepada keupayaan MCMC melaksanakan fungsi tersebut secara profesional, telus dan berkesan demi melindungi kepentingan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Senator Muhammad Hasbie Muda berpandangan pelantikan anggota suruhanjaya perlu dibuat berdasarkan kepakaran dan merit bagi memastikan setiap kuasa yang diberikan dapat dilaksanakan secara telus serta bertanggungjawab.

“Reformasi bukan sekadar memberikan lebih banyak fungsi dan kuasa kepada MCMC, malah mesti memastikan setiap kuasa itu dilaksanakan secara telus, berkesan dan boleh dipertanggungjawabkan kepada rakyat,” katanya.

RUU yang sebelum ini diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Julai lalu mengandungi 17 fasal, termasuk pindaan kepada Seksyen 16 Akta 589 bagi memperjelas fungsi MCMC dalam membangunkan serta mengawal selia piawaian infrastruktur dan platform digital.

Sumber: Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved