Jalaluddin tidak mahu jawatan kerajaan negeri

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 6:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jalaluddin tidak mahu jawatan kerajaan negeri

SEREMBAN: “Saya tidak mahu dilantik sebarang jawatan dalam kerajaan negeri,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO Negeri Sembilan itu berkata, penolakan itu bagi memberi peluang kepada muka-muka baharu yang segar dan bertenaga daripada UMNO untuk menganggotai barisan pentadbiran kerajaan negeri bagi penggal baharu selepas Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Sabtu lalu.

Bekas Exco kanan kerajaan negeri yang lalu itu berkata, semua calon daripada UMNO yang dipilih bertanding dalam PRN itu adalah dalam kalangan yang terbaik dan mereka boleh dipi­lih untuk menjadi Exco kerajaan negeri yang baharu.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak ketandusan pemim­pin yang boleh diketengahkan untuk mentadbir Negeri Sembilan. Kita ada pemimpin Melayu, Cina dan juga dari rakan kerjasama iaitu Perikatan Nasional.

“Yang penting Negeri Sembilan mempunyai barisan kepe­mimpinan yang bertenaga serta mampu membentuk gandingan mantap untuk memperbaiki urus tadbir kerajaan yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu turut diminta mengulas ketidakhadiran beliau dalam Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar di Istana Besar Seri Menanti Kuala Pilah, semalam.

Jelasnya, notis jemputan ke istiadat itu diterima daripada Unit Protokol kerajaan negeri kira-kira pukul 4.50 pagi dan be­liau hanya membacanya kira-kira pukul 7 pagi dan pada masa sama telah mempunyai program yang memerlukan kehadirannya.

“Apa pun alasan, yang pa­ling penting istiadat itu berjalan dengan lancar dan Menteri Besar yang baharu iaitu Datuk Ismail Lasim sudah dilantik dan saya yakin beliau mampu melaksanakan tugas yang baik berdasarkan pengalaman beliau yang luas.

“Sejak dari awal saya telah tegaskan bahawa sesiapa saja daripada kalangan 14 pemimpin UMNO yang bertanding dalam PRN kali ini boleh dilantik sebagai Menteri Besar kerana kita pi­lih pemimpin yang terbaik sebagai calon pilihan raya,” ujarnya.

Ditanya sama ada beliau berasa marah, kecewa atau merajuk kerana tidak dipilih sebagai Menteri Besar, Jalaluddin berkata: “Adakah kamu (wartawan) de­ngar suara saya ini seperti orang yang marah atau merajuk? Saya bukan orang yang gilakan jawatan.”

Malah, tegasnya, beliau adalah ahli politik yang telah menjawat pelbagai jawatan seperti Exco kanan kerajaan negeri, timbalan menteri peringkat kerajaan Pusat, Pengerusi Lembaga Le­buh Raya Malaysia serta jawatan politik seperti Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Tambahnya, sejak semalam, beliau telah pun melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat walaupun baru selesai PRN negeri pada Sabtu.

“Selain ADUN, saya juga adalah Ahli Parlimen yang mana tanggung jawab itu juga memerlukan saya bergerak setiap masa tanpa perlu menunggu majlis atau program peringkat negeri.

“Hari ini saya arahkan kakitangan seperti pemandu supaya berehat kerana mereka telah letih mengharungi kempen pilihan raya. Jadi saya memandu sendiri untuk pergi menunaikan tanggung jawab sebagai wakil rakyat. Tiada masalah,” katanya. – utusan

The post Jalaluddin tidak mahu jawatan kerajaan negeri appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved