
Dewan Rakyat Cadang Beri Lebih Peluang Kepada Kedai Runcit Kecil Jadi Rakan Niaga Program SARA
KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kerajaan dicadang supaya membuka peluang kepada lebih banyak kedai runcit kecil khususnya di luar bandar dan pedalaman sebagai rakan niaga program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi mengelakkan kemerosotan perniagaan susulan pelaksanaan skim bantuan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian Parlimen, Cha Kee Chin berkata jawatankuasa itu mendapati sebahagian kedai runcit kecil kehilangan pelanggan apabila penerima SARA terpaksa berbelanja di premis diiktiraf sebagai rakan niaga program tersebut.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan perbelanjaan yang sebelum ini dibuat di kedai runcit kampung beralih ke pasar raya atau premis lain yang menerima pembayaran melalui MyKad di bawah SARA.
“Bayangkan kerajaan memperuntukkan RM10 bilion tahun ini, kita tidak mahu peniaga besar sahaja dapat untung, kita mahu semua rakyat Malaysia mendapat impak positif daripada sistem sumbangan SARA ini,” katanya ketika membentangkan penerangan berhubung Penyata DR.10 Tahun 2026 iaitu Mekanisme Penyertaan Rakan Niaga dan Agensi Pelaksana dalam program SARA.
Pada masa sama, Cha yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata syarat kelayakan dan keperluan teknikal untuk menjadi rakan niaga SARA turut dianggap membebankan kerana ramai peniaga kecil tidak menerima latihan dan bimbingan mencukupi.
Selain itu, katanya penggunaan sistem point of sale (POS) dan pembayaran digital turut menjadi halangan utama kepada penyertaan peruncit kecil terutama di luar bandar dan pedalaman yang kekurangan kelengkapan serta pengetahuan teknikal.
Justeru, beliau berkata jawatankuasa berkenaan mengemukakan 17 cadangan kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan Yayasan MyKasih, antaranya memperluas penyertaan peniaga kecil dan koperasi sebagai rakan niaga SARA, menyemak semula syarat kelayakan, menyediakan latihan dan bimbingan serta mempercepat bayaran tuntutan kepada rakan niaga.
Antara cadangan lain ialah memastikan penduduk tidak perlu bergerak melebihi 10 kilometer (km) untuk mendapatkan akses kepada kedai yang menjadi rakan niaga SARA, memperhebat promosi program itu serta mempertimbangkan penyertaan penjaja di pasar tani dan pasar malam.
Sementara itu, Cha berkata jumlah peniaga kecil yang menjadi rakan niaga SARA meningkat hampir dua kali ganda kepada 5,893 setakat 16 Jun lepas berbanding 3,000 sebelum ini, namun usaha untuk menambah jumlah itu masih diperlukan bagi mencapai sasaran 10,000 peniaga menjelang akhir tahun ini.
Beliau turut memaklumkan satu inisiatif baharu dikenali sebagai POS Terminal Deployment mula dilaksanakan beberapa hari lepas bagi membantu meningkatkan penyertaan peniaga kecil di kawasan pedalaman.
“Setakat ini 14 kedai runcit di kawasan pedalaman dilengkapi dengan POS Terminal Deployment ini dengan yang pertamanya dilaksanakan di kawasan Kuching, Sarawak,” katanya bahawa Yayasan MyKasih menyediakan 2,000 set kemudahan berkenaan bagi memperluas penyertaan peniaga kecil dalam program SARA.
Dalam pada itu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) ketika membahaskan penerangan itu mencadangkan supaya kerajaan menilai semula pelaksanaan program SARA menerusi Yayasan MyKasih termasuk komisen satu peratus dikenakan kepada peniaga bagi memastikan lebih banyak manfaat dapat dinikmati peniaga kecil.
Beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian terutama apabila terdapat barangan tertentu yang dijual oleh peniaga kecil mempunyai margin keuntungan rendah.
“Contohnya minyak subsidi yang dijual dari kedai runcit, untung kurang daripada satu peratus tetapi mereka perlu bayar satu peratus kepada MyKasih,” katanya.
Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) pula mencadangkan supaya pasar malam, pasar tani serta koperasi kampung dan desa dijadikan sebagai sebahagian daripada ekosistem program SARA bagi memperkasa ekonomi komuniti dan memastikan peniaga kecil tidak terus terpinggir.
Beliau berkata hal ini kerana usaha membantu rakyat menghadapi kos sara hidup perlu dilaksanakan secara adil, telus dan memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem ekonomi setempat memandangkan terdapat peniaga kecil yang kehilangan pelanggan sehingga terpaksa menamatkan operasi.
Sebanyak 11 ahli Parlimen membahaskan penerangan berkenaan termasuk Kalam Salan (PN-Sabak Bernam), Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar), Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai), Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh), Tan Hong Pin (PH-Bakri), Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau), Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) dan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong).
Baca juga:
![“Tak Ada Sorry Sikit Pun” – Staf Kecewa Dakwa Ibu Bapa Biarkan Anak Buang Air Dalam Premis [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/06/anak-membuang-dalam-premis.jpg?t=1781490016)

