Dewan Rakyat kupas isu sokong kepada PM, SOP kes buli

LocalPolitics
14 Nov 2023 • 8:03 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jumlah laporan polis yang dibuat terkait dakwaan wujudnya unsur umpan, habuan dan ugutan ekoran sokongan beberapa ahli Parlimen kepada Perdana Menteri menjadi antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jumlah laporan polis yang telah dibuat terkait dakwaan wujudnya unsur umpan, habuan dan ugutan ekoran sokongan beberapa ahli Parlimen kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi antara tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, soalan itu diajukan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) kepada Menteri Dalam Negeri pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Selain itu, Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) bertanyakan Menteri Pendidikan mengenai prosedur operasi standard (SOP) pihak sekolah apabila berlaku aduan kes buli pelajar dan setakat mana kes berkenaan dilaporkan kepada pihak polis serta diambil tindakan dalam mahkamah.

Pada sesi jawab lisan pula, Datuk R Ramanan (PH-Sungai Buloh) meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan perancangan kementerian terhadap program pembangunan dan pemantapan usahawan digital.

Turut tersenarai soalan Datuk Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) kepada Menteri Pengangkutan berhubung tindakan kementerian selepas pertemuan dengan syarikat e-hailing terutamanya berkaitan semakan semula harga tambang yang dikatakan terlalu rendah sehingga merugikan pekerja sektor ekonomi gig.

Usai sesi itu, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkaitan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober lepas. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved