Dewan Rakyat lulus RUU Keselamatan Dalam Talian 2024

LocalPolitics
11 Dec 2024 • 7:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azalina pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 bertujuan meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian di Malaysia.

RUU itu diluluskan melalui undi belah bahagi dengan 77 Ahli Parlimen bersetuju, 55 tidak bersetuju serta 90 tidak hadir.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, undang-undang berkenaan ditumpukan kepada syarikat penyedia perkhidmatan yang bakal terlibat dalam proses pelesenan pada Januari tahun depan.

Beliau berkata, undang-undang itu adalah satu keperluan dengan mengambil kira kemajuan teknologi telekomunikasi dan persekitaran dalam talian yang lebih mencabar serta berbahaya, memandangkan hampir 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan platform media sosial.

"Dengan pengguna berpuluh juta, duit berbilion ringgit, takkan (syarikat penyedia) nak berniaga untung sahaja...mereka masuk wilayah kita, kena ada tanggungjawab," katanya.

Menurut RUU itu, menjadi kewajipan pemberi perkhidmatan aplikasi berlesen dan pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan berlesen untuk melaksanakan langkah bagi mengurangkan risiko pengguna yang didedahkan kepada kandungan memudaratkan.

Pemberi perkhidmatan juga perlu mengeluarkan garis panduan kepada pengguna termasuk syarat-syarat penggunaan sebagai panduan semasa menggunakan perkhidmatan tersebut.

Selain itu, RUU itu mengadakan peruntukan bagi kewajipan pemberi perkhidmatan aplikasi berlesen dan pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan berlesen menyediakan mekanisme bagi pengguna melaporkan kandungan yang dipercayai memudaratkan. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved