Dewan Rakyat lulus RUU Persaingan (Pindaan) 2026

LocalPolitics
6 Jul 2026 • 4:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dewan Rakyat lulus RUU Persaingan (Pindaan) 2026
Armizan ketika hadir pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 dengan pindaan pada peringkat jawatankuasa.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali mengemukakan pindaan kecil melibatkan Fasal 22 RUU itu.

Beliau berkata, pindaan berkenaan bagi membetulkan kesilapan tipografi dalam perenggan F berhubung sebutan daripada subseksyen yang dinomborkan semula.

Pada Khamis lepas, sebanyak 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyertai sesi perbahasan RUU itu yang kemudiannya diluluskan pada peringkat dasar.

RUU Persaingan (Pindaan) 2026 mencadangkan pengukuhan penguatkuasaan terhadap amalan antipersaingan susulan peningkatan penggunaan teknologi dalam aktiviti kartel dan penyalahgunaan kedudukan monopoli.

RUU yang membabitkan 34 fasal itu antara lain membuat pindaan terhadap Seksyen 24 dengan memperuntukkan kesalahan jenayah bagi cubaan memusnahkan, menyembunyikan, mencacatkan atau mengubah rekod dan data bagi menghalang penyiasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Sementara, ketika membentangkan RUU Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Pindaan) 2026 untuk bacaan kali kedua, Armizan berkata, fungsi pentadbiran dan skop kuasa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan diperkemas.

Beliau berkata, susulan RUU Persaingan (Pindaan) 2026 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini, terdapat keperluan pindaan lanjut kepada Akta MyCC 2010 bagi memastikan keseluruhan kerangka perundangan persaingan negara, dapat dikuatkuasakan secara menyeluruh.

"Pindaan ini bukanlah bertujuan untuk meluaskan kuasa MyCC tanpa had, sebaliknya memperkemas mandat yang diberikan oleh kerajaan, selaras dengan keperluan semasa pentadbiran MyCC serta cabaran penguatkuasaan dan penyiasatan yang semakin kompleks," katanya.

Armizan berkata, akta itu yang berkuat kuasa sejak 2011, mewujudkan MyCC sebagai badan berkanun persekutuan yang bertanggungjawab menguatkuasakan Akta Persaingan 2010, menjalankan penyiasatan serta menentukan sama ada berlaku pelanggaran terhadap larangan di bawah akta berkenaan.

Beliau berkata, dengan kerangka pentadbiran yang lebih jelas dan tersusun, MyCC akan dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih cekap, responsif dan berkesan, dalam menguatkuasakan undang-undang persaingan di Malaysia.

Antara pindaan utama yang dicadangkan ialah pertukaran nama Suruhanjaya Persaingan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia, selaras dengan penamaan badan berkanun lain di negara ini.

Selain itu, pindaan berkenaan memperjelas fungsi MyCC dalam memberi nasihat kepada menteri serta pihak berkuasa atau badan pengawal selia berkaitan dasar, tatacara dan program persaingan.

Armizan berkata, pindaan pada Seksyen 17, mencadangkan pemberian kuasa kepada MyCC untuk mengenakan penalti kewangan, caj bayaran lewat serta fi dan caj pentadbiran, berkaitan pelaksanaan fungsi dan perkhidmatannya.

"Selain itu, RUU ini memasukkan peruntukan baharu yang membolehkan suruhanjaya mewakilkan fungsi dan kuasa tertentu kepada pengerusi, pegawai atau pekerjanya, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, pindaan turut melibatkan prosedur pelantikan pegawai penyiasat, peluasan skop obligasi kerahsiaan, supaya meliputi perkara berkaitan Akta Persaingan (Pindaan) 2026 serta peruntukan pengecualian dan peralihan, susulan pertukaran nama Suruhanjaya Persaingan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved