Pentingnya Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026

LocalPolitics
5 Jul 2026 • 12:23 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pentingnya Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 yang memperkukuhkan sistem perundangan dalam menangani pelbagai isu dan ancaman siber.

Beliau berkata RUU berkenaan penting berikutan peningkatan jenayah siber yang semakin membimbangkan.

“Buat masa sama ia wujud bukan disebabkan negara mahu memperluaskan kuasa sebaliknya kerana jenayah telah berkembang lebih pantas daripada undang-undang.

“Teknologi bergerak setiap saat. Penjenayah berubah setiap hari maka undang-undang juga wajib bergerak seiringan agar keadilan tidak terus tertinggal di belakang kejahatan,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Dewan meluluskan RUU Jenayah Siber pada Rabu lalu.

Matbali berkata Akta Jenayah Komputer 1997 sebelum ini telah berjasa kepada negara dan sangat dihargai kerana banyak membantu namun setelah hampir tiga dekad, kecerdasan buatan kini berkembang di mana transaksi digital menjadi kebiasaan dan amalan justeru undang-undang juga mesti berevolusi.

Beliau turut melihat RUU berkenaan sebagai sebuah jambatan antara keselamatan dan kemajuan.

“Tanpa keselamatan, kemajuan akan runtuh. Tanpa keyakinan, ekonomi digital akan lumpuh. Tanpa perlindungan, teknologi akan bertukar daripada rahmat menjadi musibah.

“Kerana itulah negara memerlukan suatu kerangka undang-undang yang menyeluruh bagi menangani penipuan digital, kecurian identiti, manipulasi kandungan dan pelbagai bentuk jenayah siber yang semakin canggih,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya negara memerlukan sebuah benteng undang-undang yang bukan sahaja kukuh menahan gelombang ancaman tetapi juga bijaksana memelihara hak rakyat.

Beliau berkata RUU berkenaan dilihat akan berfungsi untuk melindungi akses sistem komputer, data dan komunikasi sekali gus menghalang sebarang cubaan daripada pihak tidak bertanggungjawab.

“Ini penting kerana penjenayah bergerak sepantas cahaya. Bukti boleh dipadam dalam beberapa saat.

“Wang boleh dipindahkan dalam beberapa minit. Identiti boleh diubah dalam satu klik,” tambahnya.

Menegaskan pentingnya RUU tersebut Matbali berkata jenayah siber banyak menjejaskan orang ramai termasuk di kawasan pedalaman dengan pelbagai taktik penipuan malah sehingga ada yang kehilangan simpanan seumur hidup.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved